Sekolah Agama Bukan Setakat Lahirkan Ustaz

MUHAMMAD HAFIZUDDEEN, HILMAN HAKIM, MUHAMMAD AMAR SAYUTI MUSLEH, MUHAMMAD ZULFIKR – GPS BESTARI SINAR HARIAN – 13 DISEMBER 2016

Dari kiri: Amar Sayuti, Hilman Hakim, Zulfikri dan Hafizuddeen.

MAJORITI masyarakat hari ini masih menilai sekolah aliran agama, baik sekolah kementerian mahupun swasta hanya boleh menghasilkan ustaz dan ustazah. Sedangkan pada masa kini sekolah aliran agama terbukti mampu untuk mengeluarkan produk yang lebih berkualiti berbanding sekolah lain dan menghasilkan tokoh-tokoh berwibawa.

Sekolah agama pada masa kini juga banyak menyediakan infrastruktur lengkap dan setanding dengan sekolah-sekolah lain.

Selain itu, sekolah agama juga menyediakan pelbagai kelas aliran berpandukan kementerian dan peredaran zaman untuk pelajar agar tidak ketinggalan.

Ini dapat memberi peluang kepada pelajar untuk memilih aliran yang bersesuaian dengan kebolehan diri mereka. Ia juga dapat membuka minda pelajar untuk menjadi lebih kreatif dan mampu berfikir ke hadapan. Kesannya, sekolah agama berjaya melahirkan ikon yang dapat membantu masyarakat.

Sekolah agama juga bergiat aktif dalam menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan pihak luar seperti pertandingan kereta solar, roket air, pidato, bahas ala Parlimen, bola sepak dan sebagainya.

Penyertaan tersebut membuktikan pelajar sekolah agama bukan hanya menuntut ilmu agama semata-mata, malahan mereka bergiat aktif dalam segenap aktiviti.

Kedudukan sekolah ini yang berada di tengah bandar juga memberi peluang kepada pelajar mengetahui isu semasa dan tidak digelar seperti katak di bawah tempurung. Pelajar terdedah dengan aktiviti-aktiviti yang diadakan di luar, termasuk yang berlaku dalam kalangan masyarakat setempat.

Pelajar lepasan sekolah agama juga mendapat dua manfaat yang sukar untuk pelajar lain peroleh iaitu ilmu dunia yang bermanfaat dan bekalan akhirat yang kekal sehingga hari perhitungan.

Oleh yang demikian, sekolah agama bukanlah hanya melahirkan ustaz dan ustazah, tetapi melahirkan tokoh-tokoh berjaya di persada negara termasuk ahli politik dan pemimpin terkemuka, ahli akademik, peguam dan pelbagai tokoh profesional.

Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah contoh paling dekat dengan kami. Beliau merupakan lepasan Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh, Perak.

“Saya sendiri pernah belajar dari tingkatan satu hingga enam rendah di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh,” kata beliau.

TPM adalah bukti paling jelas pelajar sekolah agama mampu menjawat jawatan penting dalam institusi negara.

Selain itu, Pengarah Urusan Synergy Training & Consulting (STC), Hasrizal Abdul Jamil, juga merupakan lepasan Sekolah Izzuddin Shah dari tahun 1992.

Beliau seorang penulis tanah air yang popular. Antara buku beliau yang terkenal adalah Aku Terima Nikahnya, Bercinta Sampai ke Syurga, Murabbi Cinta, Rindu Bau Pohon Tin, Secangkir Teh Pengubat Letih, Transofmasi Ramadan dan Edisi Istimewa Aku Terima Nikahnya.

Datuk Dr Siddiq Fadzil juga adalah seorang lagi tokoh berpendidikan agama yang berjaya mencipta nama bukan saja di tanah air, malah turut dikenali di negara-negara Islam yang lain.

Dilahirkan di Bagan Datoh, Perak pada 4 Januari 1947. Dr Siddiq adalah Presiden Wadah Pencerdasan Ummah Malaysia (Wadah) semenjak tahun 2005 hingga kini.

Dr Siddiq pernah dilantik sebagai Fellow Utama Akademi Pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), sebuah yayasan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Seorang lagi tokoh pendidikan agama yang terkenal ialah Hakim Utama Mahkamah Tinggi Perak, Mohammad Taifor Ahmad Rusdi.

Produk sekolah agama ini berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di universiti dalam dan luar negara dan sekarang berkhidmat di Mahkamah Tinggi Perak.

Kesimpulannya, sekolah agama bukan hanya melahirkan ustaz dan ustazah, malah mampu melahirkan produk-produk yang lebih berkualiti dan menyumbang kepada masyarakat, negara dan agama.

Persepsi masyarakat zaman kini perlulah diubah dan tidak memandang rendah kepada pelajar sekolah agama. Hal ini kerana, jika kita lihat pelajar-pelajar sekolah agama lebih mendominasi bidang-bidang pekerjaan yang memerlukan kemahiran pada tahap tertinggi seperti presiden persatuan, jurutera, pengarah syarikat, saintis, doktor dan sebagainya.

Lulusan sekolah agama setanding aliran biasa – TPM

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@bh.com.my
Berita Harian : Jumaat 17 Jun 2016

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada majlis Iftar Perdana Warga Pendidikan Daerah Sabak Bernam dan Penjenamaan Semula Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sabak Bernam di Sungai Besar, sebentar tadi. – Foto Mohamad Shahril Badri Saali

SUNGAI BESAR: Pelajar lulusan sekolah agama perlu diberi peluang sama rata dalam apa juga bidang pekerjaan dan perkhidmatan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, sekiranya diberi peluang, lulusan sekolah agama mampu untuk melaksanakan amanah, tugas dan tanggungjawab yang diberikan seperti dirinya yang kini menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Sebagai contoh, saya adalah produk Sekolah Menengah Agama Izzudin Shah Ipoh, Perak dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam Rendah.

Kalau kita diberi peluang, produk sekolah agama juga boleh menjalankan (tugas) jika diberikan kepercayaan, peranan dan tanggungjawab. “

Akan tetapi kita harus mampu menzahirkan kemampuan dan keupayaan kita. Yang penting jika kita menerima tugas dan tanggungjawab kerana Allah, nescaya Allah akan beri petunjuk kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Iftar Perdana Warga Pendidikan Daerah Sabak Bernam dan Penjenamaan Semula Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sabak Bernam di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Dalam majlis itu yang dihadiri 1,000 tetamu dan guru dari seluruh daerah Sabak Bernam, Ahmad Zahid mengumumkan penjenamaan semula SMKA Sabak Bernam kepada SMKA Tun Hajah Rahah (THR) sempena mengambil nama ibu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya sendiri menemui Perdana Menteri selepas mesyuarat Kabinet Rabu lalu untuk meminta izin menggunakan nama ibu beliau di sekolah ini kerana sekolah ini juga Sekolah Kluster Kecemerlangan,” katanya.

Beliau turut meluluskan projek mengecat semula enam blok bangunan SMKA THR dan menilai kesesuaian permohonan menyediakan padang untuk pelajar menjalankan aktiviti.

Ahmad Zahid turut mengumumkan kelulusan bagi projek pembinaan bangunan baharu Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam di tapak sama.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/165466

TPM kebanggaan Izzuddin Shah

WARTAWAN SINAR HARIAN – 30 JULAI 2015

Ahmad Zahid (berdiri, tiga kiri) ketika menjadi ketua pelajar di Sekolah Izzuddin Shah pada tahun 1969.

IPOH – Pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri bukan sahaja menggembirakan penduduk di Bagan Datoh tetapi turut membanggakan warga Sekolah Izzuddin Shah.

Ahmad Zahid merupakan bekas pelajar Sekolah Izzuddin Shah pada tahun 1966 sehingga 1970 bermula di tingkatan satu hingga tingkatan lima.

Pengetua Sekolah Izzuddin Shah, Musanif Mohamad Noh berkata, pelantikan itu sudah pastinya menjadi satu kebanggaan buat sekolah.

Menurutnya, dari segi keperibadian, Ahli Parlimen Bagan Datoh itu seorang yang merendah diri dan tidak lupa asal-usul.

“Beliau (Ahmad Zahid) memang sayangkan sekolah. Tak pernah lupa asal-usul beliau menuntut ilmu pada peringkat awal persekolahan.

“Bukan itu sahaja, beliau juga seorang yang sangat merendah diri dan pemurah. Setiap tahun ada sahaja sumbangan yang diberikan kepada sekolah sama ada untuk aktiviti sukan mahupun kemudahan yang lain,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Musanif berkata, Ahmad Zahid juga terlibat secara langsung dalam Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Izzuddin Shah dan Sekolah Raja Perempuan Taayah (PBSISTA) malah pernah menjadi presiden persatuan alumni tersebut.

Katanya, selepas menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid melepaskan jawatan itu kerana kesibukan tugas di kementerian.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian bersama Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Izzuddin Shah, Mohd Nazeri Mohd Amin di Sekolah Izzuddin Shah menemui gambar Ahmad Zahid pada tahun 1969 yang ketika itu sebagai ketua pelajar yang ditempatkan di galeri sekolah tersebut.

Malah, bangunan lama yang menempatkan kelas Ahmad Zahid dari tingkatan satu hingga tingkatan lima masih kekal digunakan sehingga kini sebagai bangunan kelas.

Selain itu, terdapat juga gambar barisan kepimpinan PBSISTA pada tahun 2003 bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang masih disimpan di dalam galeri berkenaan.

Tiga Bekas Pelajar Sekolah Izzuddin Shah, Berbeza Parti Tanding Bawah Satu Parlimen

Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN
izra@thestar.com.my

Diterbitkan: Ahad, 21 April 2013 12:00 AM mStar

IPOH: Pilihan raya kali ini bakal menyaksikan tiga rakan sekolah yang berbeza fahaman politik bertanding di bawah Parlimen yang sama bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mereka ialah Asmuni Awi (PAS), Mohamad Ziad Mohamed Zainal (BN) dan Sulaiman Zakariya (Bebas) yang masing-masing menjadi calon bagi dua kerusi negeri di Parlimen Tambun.

Ketiga-tiga mereka merupakan bekas pelajar Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh.

Asmuni akan berdepan Ziad dalam pertembungan satu lawan satu bagi merebut DUN Manjoi manakala Sulaiman akan bersaing secara tiga penjuru menentang calon BN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di DUN Hulu Kinta.

Asmuni berkata, walaupun berbeza parti dan fahaman politik beliau menghormati calon-calon lain termasuklah dua rakan yang pernah bersekolah di bumbung yang sama.

“Kami satu sekolah tak bermakna tak boleh bersaing. Saya melihat ini sebagai satu persaingan sihat,” katanya kepada mStar Online, pada hari penamaan calon, dekat sini, Sabtu.

Asmuni, 59, berkata, walaupun mengenali kedua-dua calon berkenaan, beliau lebih rapat dengan Ziad, 38 berbanding Sulaiman, 65, yang merupakan pelajar ‘senior’ di sekolahnya.

Jelasnya, beliau maklum lebih awal bahawa Ziad akan bertanding menentangnya tetapi berbeza dengan Sulaiman yang hanya diketahui akan bertanding pada hari penamaan calon.

“Saya tak tahu beliau akan bertanding di sini sebagai calon Bebas. Saya terpinga-pinga bila nampak beliau di dewan penamaan calon.

“Bila kami bersembang dan nampak borangnya, baru saya tahu beliau juga sah akan bertanding,” katanya.

Asmuni berkata, beliau tidak pernah memandang rendah calon-calon lain, apatah lagi rakan sekolahnya walaupun berbeza parti.

“Saya tak pernah pandang rendah terhadap lawan. Saya hormat BN sebagai parti yang telah lama memerintah. Mereka mempunyai jentera yang kemas dan kewangan kukuh,” katanya.

Namun, beliau berkata akan menghadapi persaingan dengan segala kekuatan yang ada.

“Dengan suasana rakyat yang mahukan perubahan, saya yakin kami akan menang dalam pilihan raya ini,” katanya.

Parlimen Tambun merupakan kubu kuat BN yang telah disandang oleh Menteri Kewangan II Ahmad Husni Hanadzlah sejak empat penggal lalu.

Lanjutkan pelajaran ka-Varsiti Azhar