Kami suka dia

Wan Mohd Hasanuddin, Muhammad Haikal Suhairi, Muhammad Danish Sakhawi & Muhammad ‘Abid Zuhdi Osman

3 JANUARI 2017 – GPS BESTARI SINAR HARIAN

Dari kiri: Haikal, Wan, Tuan Hj Omar (Pengetua), Danish , Abid Zuhdi dan Harith Imtiaz.

‘AYAHANDA’, itulah gelaran yang sesuai untuknya. Beliau yang dimaksudkan ialah Tuan Haji Omar Bakar. Biarpun baru saja melakar nama di Sekolah Izzuddin Shah (SIS) pada 2016, beliau mempunyai 1001 misi dan visi yang mahu dilaksanakan bagi meningkatkan prestasi sekolah dari segi akademik, sahsiah mahupun kokurikulum.

Beliau juga seorang yang berpengalaman sebagai pengetua. Sebagai contoh beliau telah mentadbir Sekolah Raja Dr Nazrin selama 16 tahun sebelum dipindahkan ke SIS. Justeru, tidak hairanlah beliau sangat masak dalam merangka perancangan bagi menaikkan nama sekolah ke peringkat lebih tinggi.

Ayahanda dilahirkan pada tanggal 2 April 1960. Anak kampung yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Lempor, Manong ini kemudian menyambung pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Tajul Ariffin.

Setelah menamatkan pengajian di peringkat rendah dan menengah, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Pertanian Malaysia yang kini dikenali Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1980.

Beliau berjaya menggenggam segulung Diploma Sains Pendidikan juga Ijazah Sarjana Muda dalam Pembangunan Sumber Manusia dari UITM, Skudai.

Pada 1989, beliau mula menjadi guru biasa di SMK Kampar selama tiga tahun. Seterusnya menjadi penyelaras Matrikulasi di UKM, Bangi pada tahun 1991-2000.

Pada tahun 2000, beliau ditawarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) untuk memegang jawatan Penolong Kanan di Sekolah Menengah Agama Raja Dr Nazrin Shah, Kampung Gajah.

Sikap kebertanggungjawabannya dalam menjalankan tugas, beliau dilantik sebagai Pengetua, sebulan selepas dipindahkan ke Sekolah Menengah Agama Raja Dr Nazrin (Sarjana).

Pada April 2016, beliau memegang jawatan sebagai Pengetua Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah (SIS), Ipoh untuk memenuhi tempat ditinggalkan Cikgu Musanif Mohd Noh yang dipindahkan ke Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK).

Ayahanda memiliki sasaran tersendiri untuk meningkatkan prestasi sekolah dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar.

Antara hasrat pengetua ialah:

• Kepimpinan yang cemerlang dalam kalangan pelajar, guru dan staf sokongan

• Keberkesanan PdP di sekolah untuk menjamin prestasi akademik yang cemerlang

• Kecemerlangan akademik

• Kecemerlangan akhlak dan sahsiah pelajar

• Kebitaraan sekolah

• Kecekapan pengurusan pentadbiran sekolah

• Saranan ibu bapa

Beliau amat yakin jika sesebuah sekolah dapat memenuhi ketujuh-tujuh hasrat ini, sekolah tersebut akan cemerlang dari sudut akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar.

“Sumbangan yang pertama sekali merubah minda pelajar transform supaya kita ambil perkara-perkara yang positif untuk cemerlang iaitu dalam meletakkan kepimpinan cemerlang dan kecekapan pengurusan itu supaya ketiga-tiga elemen human resources di dalamnya digerakkan ke arah yang positif dan cemerlang.

“Human resources itu yang pertamanya adalah pelajar. Pelajar harus mematuhi etika dan peraturan-peraturan sekolah atau asrama. Sebagai contoh pelajar tidak melakukan sebarang kes disiplin di sekolah.

“Yang kedua adalah guru-guru. Guru-guru juga harus meletakkan komitmen seratus peratus terhadap tugas dan tanggungjawab mereka sebagai guru dalam bidang akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah. Contohnya mendidik pelajar tanpa mengenal erti penat lelah,” katanya.

Menurut beliau, perkara ketiga adalah staf sokongan sekolah. Mereka ini membantu untuk menggerakkan program-program dan aktiviti sekolah dan mereka juga perlu transform dari segi cara mereka bekerja ke arah yang lebih efektif dan berkesan.

“Ketiga-tiga elemen ini perlu bekerjasama menyumbang ke arah pembangunan sekolah dalam bentuk menuju kecemerlangan akademik, kokurikulum dan ketinggian sahsiah pelajar. Semua human resources ini harus bergerak secara serentak bagi mengukuhkan lagi kecemerlangan dalam pentadbiran sekolah,” katanya.

Berikut adalah misi-misi sekolah yang beliau katakan:

• Mengamalkan pentadbiran yang telus dan efisien

• Budaya kerja berpasukan

• Melaksanakan pendidikan berkualiti untuk mencapai kecemerlangan

• Memperkasakan jati diri berpaksikan ilmu dan amal

• Menjadikan kokurikulum sebagai landasan untuk membina keterampilan pelajar

• Mewujudkan suasana kondusif serta menjalin hubungan mesra

Merujuk kepada misi sekolah di atas, jelaslah bahawa misi SIS mampu menandingi misi sekolah-sekolah berasrama penuh yang lain dan jika kesemua misi di atas dilaksanakan oleh ketiga-tiga elemen sekolah yang telah dinyatakan oleh tuan pengetua di atas.

Beliau percaya SIS mampu mengalahkan sekolah-sekolah lain yang lebih terkenal dan hebat di Malaysia contohnya MRSM Taiping, Kolej Islam Sultan Alam Shah dan sebagainya.

Beliau meletakkan sasaran Gred Purata Sekolah (GPP) 2.21 pada tahun hadapan dan beliau percaya SIS mampu menduduki tangga ke lima teratas dalam pencapaian SPM di semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

“SIS unggul dan akan berprestij di Malaysia dan dapat melahirkan lebih ramai cendekiawan negara dalam pelbagai bidang dan saya percaya bahawa SIS mampu menjana kecemerlangan sebaris dengan sekolah lain seperti MRSM, STAR, MCKK dan sekolah-sekolah kluster kecemerlangan yang lain,” itulah harapan Ayahanda.

Sehubungan itu, beliau telah pun melaksanakan program-program dari sudut akademik, kokurikulum mahupun kerohanian.

Selain itu, beliau juga mempunyai beberapa kriteria yang menjadikan beliau seorang yang disegani oleh pelajar, guru-guru mahupun staf sokongan sekolah.

Pertama, beliau seorang yang menepati masa. Sebagai contoh, beliau sering hadir ke sekolah pada awal pagi bagi memantau guru-guru supaya mereka tidak hadir lewat ke sekolah dan ketika di perhimpunan rasmi pada waktu pagi iaitu pada hari Isnin. Beliau akan mengatur masa untuk beliau berucap agar tidak mengganggu waktu PdP pelajar.

Di samping itu, beliau seorang yang bertanggungjawab dengan amanah yang dipikul. Contohnya beliau sering mengadakan program-program motivasi dan aktiviti-aktiviti luar bagi memastikan kecemerlangan murid khususnya dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar.

Beliau telah menjayakan kesemua program yang telah beliau rangka pada tahun ini dengan begitu cemerlang. Hal ini menunjukkan bahawa beliau telah memberi komitmen seratus peratus bagi melaksanakan program-program tersebut.

Ayahanda juga seorang yang berpendirian tetap. Sebagai contoh, beliau begitu efisien dan sistematik dalam melaksanakan tugas beliau supaya pentadbiran sekolah menjadi lebih telus dan licin, sekali gus dapat meningkatkan keberkesanan PdP dan beliau bertungkus-lumus ingin berganding bahu bersama Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Penolong Kanan Kokurikulum bagi membentuk kekuatan ikatan silaturahim dari sudut rohani.

Akhir sekali, asbab inilah yang mendorong kami untuk memilih Tuan Haji Omar Bakar sebagai insan yang paling digemari di sekolah, sekali gus dipilih sebagai idola kami yang begitu sesuai dalam karya yang bertajuk Kami Suka Dia ini.