Lima lagi sekolah tahfiz bakal dibina di Perak

IPOH 25 Ogos – Lima lagi sekolah tahfiz akan dibuka sekali gus bakal merencanakan sasaran kerajaan negeri mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah institusi pendidikan agama berkenaan di kesemua 10 daerah di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Nizar Zakaria berkata, ketika ini, terdapat lima sekolah tahfiz beroperasi di lima daerah selain tiga lagi di sekolah agama iaitu Sekolah Raja Perempuan Taayah, Sekolah Izzudin Shah dan Sekolah Menengah Raja Dr. Nazrin Shah di Kampung Gajah.

“Lima sekolah tahfiz sedia ada terdapat di daerah Lenggong, Sungai Siput, Tapah, Kerian dan Batang Padang. Kita sedang dalam proses mengenal pasti lima lagi tapak sekolah tahfiz di beberapa daerah lain dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

“Di sekolah persendirian dan swasta pula, terdapat 24 buah yang menawarkan pengajian tahfiz, jadi, dengan pertambahan sekolah tahfiz ini, kita menjangkakan peningkatan bilangan pelajar dengan sasaran kita melahirkan sebanyak 300 orang setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penutupan ihtifal sekolah-sekolah agama peringkat negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Mohamad Nasar Kurdi.

Program tahunan yang berlangsung selama tiga hari itu antara lain mempertandingkan beberapa acara termasuk nasyid, marhaban dan rawi, hafazan, tilawah al-Quran, bercerita kisah al-Quran, syarahan bahasa Arab dan bahasa Melayu, hiwar (lakonan), khutbah dan tulisan khat.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Nizar berkata, pendaftaran ke sekolah-sekolah agama untuk pengambilan pelajar ke tingkatan satu di negeri ini dijangka bakal menggunakan aplikasi dalam talian menjelang hujung tahun.

Beliau berkata, hasil kerjasama dengan agensi kerajaan negeri, KPerak Implementation and Coordination Corporation (KPerak) itu juga akan membolehkan pendaftaran pelajar dibuka selama dua minggu sebaik sahaja keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 diumumkan.

“Pendaftaran itu akan dibuka di laman web rasmi Gerbang Mesra Rakyat Negeri Perak yang mana semua maklumat termasuk panggilan temuduga akan dipaparkan secara dalam talian,” katanya.

Sumber: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Utara/20130826/wu_03/Lima-lagi-sekolah-tahfiz-bakal-dibina-di-Perak