Jumlah Pelajar Sekolah Di Perak Dijangkiti Gejala ILI Meningkat

Antara pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah Ipoh yang disolasi setelah dikesan menghidap gejala penyakit seperti influenza (ILI)

IPOH, 13 Mac (Bernama) — Sebanyak 27 kes baru penyakit seperti influenza (ILI) dikesan menjadikan jumlah keseluruhan 465 pelajar di Perak dijangkiti virus influenza berbanding 438 orang semalam.

Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Perak, kes baharu yang direkodkan membabitkan 25 pelajar dari Sekolah Izzuddin Shah, di sini.

Pelajar dari Sekolah Menengah Raja Perempuan Taayah yang dijangkiti virus itu pula meningkat kepada 226 orang; 115 pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR); tiga pelajar Sekolah Kebangsaan Klebang Jaya, 83 pelajar dari Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) di Teluk Intan dan 13 pelajar di Kolej Vokasional Slim River.

Daripada jumlah itu, seramai 14 pelajar lagi diasingkan di sekolah masing-masing, menjadikan jumlah keseluruhan pelajar yang diasingkan 287 orang.

Menurut kenyataan itu, tiada lagi pelajar yang diasingkan di wad manakala selebihnya berada di rumah masing-masing.

Kakitangan Jabatan Kesihatan Daerah Kinta menjalankan saringan kesihatan terhadap pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah yang disolasi

Kakitangan Jabatan Kesihatan Daerah Kinta menjalankan saringan kesihatan terhadap pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah yang disolasi

Sebanyak empat sampel pula didapati positif Influenza A (H3) dan sembilan sampel positif Influenza B.

Sementara itu, di Teluk Intan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Integrasi Nasional negeri Datuk Dr Mah Hang Soon menegaskan tiada pelajar di Perak yang dijangkiti penyakit H1N1.

Sebaliknya mereka yang dikesan menghidap gejala ILI itu sebahagian daripadanya didapati menghidap Influenza A (H3) atau selesema bermusim, dan sebahagiannya menghidap Influenza B, katanya.

“Setakat ini, memang tiada laporan pelajar menghidapi penyakit H1N1. Saya memberi jaminan kita bersikap telus dan terbuka dalam hal sebegini.

“Kes sebegini hanyalah selesema bermusim. Cumanya kita hairan bagaimana begitu ramai yang dijangkiti. Maksudnya ia (virus) senang merebak dan dijangkiti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan sebuah mesin Echocardiogram yang bernilai kira-kira RM300,000 untuk kegunaan Pusat Perubatan Anson Bay di hospital swasta Teluk Intan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dengan laporan palsu yang tersebar di media sosial kononnya berlaku penularan virus H1N1 di negeri ini.

— BERNAMA – 13 MAC 2017

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1337342