Keputusan SPM 2016 Sekolah Agama Negeri Perak Catat 100 Peratus

SuaraPerak: 16 MAC 2017

IPOH: Sekolah menengah agama kelolaan kerajaan negeri Perak mencatatkan keputusan 100 peratus lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 yang diumumkan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, seramai 361 calon tiga buah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan empat buah Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) telah menduduki SPM tahun lalu.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, seorang calon mendapat 12A, tujuh mendapat 11A, 10 (10A), 27 (9A), 17 (8A), 23 (7A), 48 (6A), 54 (5A), 52 (4A), 51 (3A), 37 (2A) dan 28 (1A) di samping hanya enam calon tidak mendapat sebarang A.

SMTDR Manjung memperolehi gred purata sekolah (GPS) terbaik dengan 2.87 mengatasi SMTDR Batang Padang (2.89), Sekolah Raja Perempuan Taayah (2.93), Sekolah Izzuddin Shah (3.19), Sekolah Menengah Raja Dr Nazrin Shah (3.27), SMTDR Lenggong (3.61) dan SMTDR Kerian (3.86).

Bagaimanapun, kata beliau, seorang calon Sekolah Raja Perempuan Taayah mendapat keputusan 12A dan enam lagi mendapat 11A.

“Ini merupakan pencapaian-pencapaian yang cukup terbaik, begitu juga langkah-langkah yang telahpun dilakukan oleh pihak kerajaan negeri bagi memastikan kejayaan dan kecemerlangan dalam bentuk duniawi dan ukhrawi itu dapat dibekalkan kepada anak-anak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan itu dan menyampaikan slip keputusan kepada pelajar cemerlang di Sekolah Raja Perempuan Taayah di sini pada Khamis.

Menurut Drs Nizar, walaupun pelajar sekolah-sekolah agama yang dikelolakan oleh kerajaan negeri itu perlu mengikuti tiga silibus akademik, azhariah dan tahfiz, tetapi mereka mampu untuk bersaing dan mencatatkan keputusan cemerlang.

“Kejayaan-kejayaan ini merupakan usaha secara bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh guru-guru, pelajar dan peranan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) juga,” ujar beliau.

Katanya, walaupun turut menggunakan format kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang diperkenalkan di sekolah-sekolah agama mulai tahun lalu, ia tidak menjejaskan prestasi calon-calon.

“Alhamdulillah, secara amnya, pelajar-pelajar sekolah agama dapat mengikutinya secara baik sehingga mereka dapat melonjakkan kecemerlangan mereka,” tambah beliau.

Sumbr: http://suaraperak.com/keputusan-spm-2016-sekolah-agama-negeri-perak-catat-100-peratus/

Taayah SMAN Terbaik Seluruh Negara – Izzuddin Keempat

IPOH: Sekolah Raja Perempuan Taayah terus mencipta nama apabila muncul Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) seluruh negara terbaik selepas analisis menyeluruh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 dilakukan baru-baru ini.

Berdasarkan analisis yang dibuat, keputusan SPM 2015 Taayah mencatakan gred purata keseluruhan (GPS) 2.43 mata.

Ini bermakna, Taayah menewaskan beberapa sekolah agama elit di seluruh negara seperti Maktab Mahmud, Kedah; Maahad Tahfiz Sains, Kelantan dan Maahad Muhammadi, juga dari Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, selain Taayah, daripada 72 buah SMAN di seluruh negara, Sekolah Izzuddin Shah menduduki tempat keempat dengan mata GPS 2.82 dan Sekolah Menengah Raja Dr Nazrin Shah ke 11 dengan 3.11 mata GPS.

“Walaupun perlu menjalani arus pendidikan perdana, tahfiz dan Azhariah, mereka telah membuktikan pelajar SMAN juga boleh berjaya di dalam ke tiga-tiga arus pendidikan itu,” katanya dalam sidang media di INTIM pada Isnin.

Selain cemerlang di dalam kurikulum, Taayah turut cemerlang di dalam ko-kurikulum, sehingga menerima Anugerah Inovasi Menteri Besar 2015 yang membawa pulang wang tunai RM50,000, piala dan sijil, hasil projek Saintis Muda.

Buktikan Calon SPM Sekolah Agama Terbaik

IPOH: Calon periksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Izzuddin Shah mesti membuktikan bahawa calon sekolah agama negeri juga mampu mencatatkan keputusan cemerlang di dalam peperiksaan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, bagi mencapai keputusan itu, mereka mesti menanam azam untuk membuat yang terbaik.

Sehubungan itu, beliau mencabar calon-calon berkenaan memberi keputusan SPM 2016 yang lebih baik daripada keputusan calon dari Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

“Kalau mereka tinggal di asrama, anda juga tinggal di asrama, sama-sama makan nasi, tiada bezanya, kalau mereka boleh, kenapa anda tidak boleh,” katanya ketika berucap kepada 93 calon SPM Sekolah Izzuddin Shah semasa lawatannya ke sekolah itu pagi Jumaat.

Drs Nizar menambah, perkara itu tidak mustahil kerana tahun lalu, keputusan calon -calon Sekolah Menengah Sains Tapah telah mengatasi keputusan calon-calon MCKK.

Menurut beliau, guru-guru telah membuat yang terbaik untuk memberi ilmu pengetahuan kepada para pelajar dan terpulang kepada mereka untuk mengolahnya sebaik mungkin.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan mereka supaya jangan mudah berputus asa sekiranya keputusan yang diperolehi kurang memuaskan, sebaliknya perlu berusaha untuk terus belajar sehingga ke tahap setinggi mungkin.

Beliau berkata, mereka tidak boleh berputus asa kerana banyak contoh yang menunjukkan bahawa kesungguhan akhirnya akan memberi kejayaan yang cukup manis.

“Contohnya, pencipta lampu, Thomas Edison hanya berjaya di dalam usahanya itu selepas mencuba 10,000 kali, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,” ujar beliau.

Suara Perak : 11 November 2016

Sumber: http://suaraperak.com/buktikan-calon-spm-sekolah-agama-terbaik/