Keputusan SPM 2016 Sekolah Agama Negeri Perak Catat 100 Peratus

SuaraPerak: 16 MAC 2017

IPOH: Sekolah menengah agama kelolaan kerajaan negeri Perak mencatatkan keputusan 100 peratus lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 yang diumumkan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, seramai 361 calon tiga buah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan empat buah Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) telah menduduki SPM tahun lalu.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, seorang calon mendapat 12A, tujuh mendapat 11A, 10 (10A), 27 (9A), 17 (8A), 23 (7A), 48 (6A), 54 (5A), 52 (4A), 51 (3A), 37 (2A) dan 28 (1A) di samping hanya enam calon tidak mendapat sebarang A.

SMTDR Manjung memperolehi gred purata sekolah (GPS) terbaik dengan 2.87 mengatasi SMTDR Batang Padang (2.89), Sekolah Raja Perempuan Taayah (2.93), Sekolah Izzuddin Shah (3.19), Sekolah Menengah Raja Dr Nazrin Shah (3.27), SMTDR Lenggong (3.61) dan SMTDR Kerian (3.86).

Bagaimanapun, kata beliau, seorang calon Sekolah Raja Perempuan Taayah mendapat keputusan 12A dan enam lagi mendapat 11A.

“Ini merupakan pencapaian-pencapaian yang cukup terbaik, begitu juga langkah-langkah yang telahpun dilakukan oleh pihak kerajaan negeri bagi memastikan kejayaan dan kecemerlangan dalam bentuk duniawi dan ukhrawi itu dapat dibekalkan kepada anak-anak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan itu dan menyampaikan slip keputusan kepada pelajar cemerlang di Sekolah Raja Perempuan Taayah di sini pada Khamis.

Menurut Drs Nizar, walaupun pelajar sekolah-sekolah agama yang dikelolakan oleh kerajaan negeri itu perlu mengikuti tiga silibus akademik, azhariah dan tahfiz, tetapi mereka mampu untuk bersaing dan mencatatkan keputusan cemerlang.

“Kejayaan-kejayaan ini merupakan usaha secara bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh guru-guru, pelajar dan peranan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) juga,” ujar beliau.

Katanya, walaupun turut menggunakan format kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang diperkenalkan di sekolah-sekolah agama mulai tahun lalu, ia tidak menjejaskan prestasi calon-calon.

“Alhamdulillah, secara amnya, pelajar-pelajar sekolah agama dapat mengikutinya secara baik sehingga mereka dapat melonjakkan kecemerlangan mereka,” tambah beliau.

Sumbr: http://suaraperak.com/keputusan-spm-2016-sekolah-agama-negeri-perak-catat-100-peratus/

Keputusan SPM 2016: Perak Bangga Percapaian Sekolah Agama Dan Tahfiz

PerakToday: 16 MAC 2017

Kerajaan Perak berbangga dengan percapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2016 bagi Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Tahfiz Darul Rizduan yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Exco Agama, Pendidikan Islam, dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata kesemua tujuh sekolah berkenaan menunjukkan peratusan lulus 100% walaupun mereka menerima 3 aliran pembelajaran.

“Pada 2016, seramai 361 pelajar dari 3 buah sekolah menengah agama negeri serta 4 buah sekolah tahfiz Darul Ridzuan telah menduduki SPM.

“Dan seorang dari pelajar aliran agama ini memperoleh 12A dimana ia sekaligus membuktikan usaha berterusan pelajar, guru-guru dan ibu bapa membuahkan hasil.

“Berbanding dengan sekolah biasa, pelajar di sekolah agama dan sekolah tahfiz terpaksa menghadapi tiga kurikulum berlainan iaitu akademik, azhariah dan juga tahfiz namun, mereka masih mampu untuk menampilkan kecemerlangan dan bersaing.

Mohd Nizar menambah, pencapaian SPM kali ini agak baik khususnya dari segi GPS ( Gred Purata Sekolah) dimana Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Manjong telahpun mendapat gred purata sekolah iaitu 2.87 %.

Jelas beliau, ia merupakan satu pencapaian yang baik dengan langkah-langkah yang dilakukan pihak kerajaan negeri bagi memastikan kejayan dan juga kecemerlangan untuk duniawi dan ukhrawi itu dapat dibekalkan khususnya kepada pelajar atau anak-anak kita.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, wujudnya sekolah menengah tahfiz darul ridzuan ini, dengan silibus dan kurikulum yang agak banyak ini, namun mereka juga mampu untuk bersaing dan melonjakkan dari segi prestasi kecemerlangan mereka.

“Dan secara jelasnya keputusan peperiksaan inilah yang merupakan lambang terbaik untuk mereka tampilkan kebolehupayaan mereka baik dari segi pencapaian contohnya SPM, begitu juga STAM. Mereka dapat memenuhi segala inspirasi yang kita kehendakkan,” katanya pada Sidang Media Pengumuman Analisa dan Keputusan SPM 2016 Negeri Perak di Sekolah Menengah Raja Perempuan Taayah.

Jelas beliau lagi, kejayaan ini pelajar-pelajar berkenaan sebenarnya merupakan usaha secara bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh guru-guru begitu juga dengan pelajar itu sendiri serta peranan PIBG.

Malah katanya, bagi kerajaan negeri asasnya pelajar-pelajar apabila berada di institusi sekolah akan mengikuti silibus sama seperti sekolah-sekolah lain.

Justeru, pelajar aliran agama sudah tentu tidak akan ketinggalan kerana kerajaan juga mempunyai kolaborasi baik di peringkat negeri mahupun PPD.

“Apa-apa sahaja silibus, kurikulum atau kemahiran perfikir aras tertinggi itu tetap akan terjalin dan kejayaan inilah sebenarnya telahpun dapat kita lahirkan melalui usaha yang berterusan,” katanya lagi.

Sumber: http://peraktoday.com.my/2017/03/keputusan-spm-2016-perak-bangga-percapaian-sekolah-agama-dan-tahfiz/

47 kes baharu Influenza A (H3) dicatatkan di Perak

BERITA HARIAN – 14 MAC 2017
Oleh Shaarani Ismail
shaarani@bh.com.my

IPOH: Sebanyak 47 kes baharu Influenza A (H3) dicatatkan di Perak semalam dengan dua kluster atau sekolah baharu direkodkan yang pelajarnya mengalami kes itu.

Pertambahan kes baharu menjadikan jumlah kes terkumpul sebanyak 512 membabitkan lapan kluster.

Dua sekolah berkenaan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Azlan Shah (SMKASAS) di Seri Iskandar dan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Batang Padang (SMTDR) di Tapah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri, daripada 47 kes baharu yang dilaporkan, masing-masing empat kes membabitkan Sekolah Raja Perempuan Taayah (SERATA) di Ipoh dan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib, Teluk Intan selain kes dicatatkan di dua kluster baharu iaitu 13 kes di SMKASAS dan 26 kes lagi di SMTDR Batang Padang.

Katanya, jumlah kes yang dilaporkan setakat ini membabitkan enam lagi kluster iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Klebang Jaya, Ipoh kekal tiga kes, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh (115 kes), SERATA (230 kes dengan empat kes baharu), Kolej Vokasional Slim River (13 kes), SMART Teluk Intan (87 kes termasuk empat kes baharu) dan Sekolah Izzuddin Shah Ipoh (25 kes).

SEBAHAGIAN pelajar di Sekolah Izzudin Shah yang dijangkiti Influeza A (H3) kini dikuarantin di asrama sekolah. – Foto Effendy Rashid

Sebanyak 33 kes baharu sudah diasingkan ke dalam bilik isolasi di sekolah masing-masing iaitu empat kes di SERATA, tiga di SMART dan 26 kes lagi di SMTDR Batang Padang dengan jumlah terkumpul semasa diasingkan di semua kluster adalah sebanyak 245 kes, selain itu, 75 kes semasa sudah dikeluarkan dari bilik isolasi,” menurut kenyataan itu.

Terdapat satu kes baharu dimasukkan ke wad di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh manakala dua kes terkumpul masih di rawat di hospital iaitu masing-masing satu kes di Hospital KPJ Rawang dan satu kes lagi di HRPB.

Menurut kenyataan itu, daripada sampel yang yang dibuat ujian pengesahan, empat sampel didapati positif untuk Influenza A (H3) manakala sembilan sampel lagi positif untuk Influenza B. “

Jabatan Kesihatan Negeri Perak sudah mengeluarkan surat kewaspadaan kepada pengamal perubatan di seluruh negeri berkenaan supaya melaporkan kejadian kluster (dua kes atau lebih dari sesuatu lokasi) baru-baru ini, walaupun penyakit ini tidak wajib dilaporkan di bawah Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit, 1988 (Akta 342),” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/node/259881

Pelajar dijangkiti Influenza A (H3) meningkat

PELAJAR di Sekolah Raja Perempuan Taayah (SERATA) memakai topeng penutup mulut untuk mengelak dijangkiti virus influenza, baru-baru ini. – Foto Effendy Rashid

IPOH: Bilangan pelajar disahkan dijangkiti Influeza A (H3) atau selesema bermusim di Perak meningkat kepada 465 kes setakat jam 11.59 malam tadi berbanding 438 kes dilaporkan malam semalam.

Jurucakap Jabatan Kesihatan Perak berkata, bilangan berkenaan termasuk kes terbaru 25 pelajar dijangkiti di Sekolah Izzudin Shah di sini.

Katanya, terdapat pertambahan seorang pelajar di Sekolah Raja Perempuan Taayah (SERATA) menjadikan bilangan keseluruhan pelajar sekolah berkenaan yang dijangkiti penyakit itu seramai 226 orang. “

Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART), Teluk Intan turut mencatatkan pertambahan satu kes menjadikan seramai 83 pelajar yang dijangkiti setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, tiga lagi sekolah merekodkan bilangan sama seperti semalam dengan tiada pertambahan kes direkodkan iaitu Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman (STAR) kekal 115 pelajar, Sekolah Kebangsaan(SK) Klebang Jaya (3 murid) dan Kolej Vokasional Slim River (13 pelajar).

Katanya, sehingga kini ujian pengesahan daripada sampel yang diberikan menunjukkan empat sampel positif untuk Influenza A (H3) dan sembilan sampel positif untuk Influenza B.

Beliau berkata, suntikan vaksin Influenza bermusim adalah digalakkan terutama bagi mereka yang berisiko tinggi iaitu mudah dijangkiti seperti kanak-kanak berusia di bawah lima tahun, mereka berusia lebih 60 tahun, menghadapi masalah radang paru-paru dan asma. “

Bagi pesakit yang masih diperlukan bekerja, mereka yang bergejala perlu memakai penutup hidung dan mulut sepanjang masa berada di tempat kerja,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/node/259420

Jumlah Pelajar Sekolah Di Perak Dijangkiti Gejala ILI Meningkat

Antara pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah Ipoh yang disolasi setelah dikesan menghidap gejala penyakit seperti influenza (ILI)

IPOH, 13 Mac (Bernama) — Sebanyak 27 kes baru penyakit seperti influenza (ILI) dikesan menjadikan jumlah keseluruhan 465 pelajar di Perak dijangkiti virus influenza berbanding 438 orang semalam.

Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Perak, kes baharu yang direkodkan membabitkan 25 pelajar dari Sekolah Izzuddin Shah, di sini.

Pelajar dari Sekolah Menengah Raja Perempuan Taayah yang dijangkiti virus itu pula meningkat kepada 226 orang; 115 pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR); tiga pelajar Sekolah Kebangsaan Klebang Jaya, 83 pelajar dari Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) di Teluk Intan dan 13 pelajar di Kolej Vokasional Slim River.

Daripada jumlah itu, seramai 14 pelajar lagi diasingkan di sekolah masing-masing, menjadikan jumlah keseluruhan pelajar yang diasingkan 287 orang.

Menurut kenyataan itu, tiada lagi pelajar yang diasingkan di wad manakala selebihnya berada di rumah masing-masing.

Kakitangan Jabatan Kesihatan Daerah Kinta menjalankan saringan kesihatan terhadap pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah yang disolasi

Kakitangan Jabatan Kesihatan Daerah Kinta menjalankan saringan kesihatan terhadap pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah yang disolasi

Sebanyak empat sampel pula didapati positif Influenza A (H3) dan sembilan sampel positif Influenza B.

Sementara itu, di Teluk Intan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Integrasi Nasional negeri Datuk Dr Mah Hang Soon menegaskan tiada pelajar di Perak yang dijangkiti penyakit H1N1.

Sebaliknya mereka yang dikesan menghidap gejala ILI itu sebahagian daripadanya didapati menghidap Influenza A (H3) atau selesema bermusim, dan sebahagiannya menghidap Influenza B, katanya.

“Setakat ini, memang tiada laporan pelajar menghidapi penyakit H1N1. Saya memberi jaminan kita bersikap telus dan terbuka dalam hal sebegini.

“Kes sebegini hanyalah selesema bermusim. Cumanya kita hairan bagaimana begitu ramai yang dijangkiti. Maksudnya ia (virus) senang merebak dan dijangkiti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan sebuah mesin Echocardiogram yang bernilai kira-kira RM300,000 untuk kegunaan Pusat Perubatan Anson Bay di hospital swasta Teluk Intan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dengan laporan palsu yang tersebar di media sosial kononnya berlaku penularan virus H1N1 di negeri ini.

— BERNAMA – 13 MAC 2017

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1337342

Lagi lokasi ILI dikesan libatkan 25 pelajar

Sinar Harian: 13 Mac 2017

Sebahagian pelajar sekolah yang terlibat dikuarantin baru-baru ini. – Foto arkib bernama

IPOH – Satu lagi lokasi wabak penyakit seperti influenza (ILI) dikesan berlaku iaitu di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh melibatkan 25 pelajar.

Jabatan Kesihatan Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, kes baharu itu dicatatkan, semalam menjadikan jumlah kumulatif kes terus meningkat kepada 465 melibatkan enam kluster ILI berbanding 438 kes sebelum ini.

Sekolah Raja Perempuan Taayah menunjukkan bilangan kes tertinggi iaitu 226 pelajar dan semalam, ada pertambahan satu lagi kes baharu direkodkan.

Satu lagi kes baharu turut dicatatkan di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (Smart), Teluk Intan menjadikan jumlah keseluruhan, 83 orang.

Tiga lagi kluster yang terlibat adalah Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Star) dengan jumlah 115 kes, Sekolah Kebangsaan (SK) Klebang Jaya (3) dan Kolej Vokasional Slim River (13).

Sehingga kini, sampel-sampel yang dibuat ujian pengesahan menunjukkan empat positif Influenza A (H3) manakala sembilan positif untuk Influenza B.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/lagi-lokasi-ili-dikesan-libatkan-25-pelajar-1.642121

Kami suka dia

Wan Mohd Hasanuddin, Muhammad Haikal Suhairi, Muhammad Danish Sakhawi & Muhammad ‘Abid Zuhdi Osman

3 JANUARI 2017 – GPS BESTARI SINAR HARIAN

Dari kiri: Haikal, Wan, Tuan Hj Omar (Pengetua), Danish , Abid Zuhdi dan Harith Imtiaz.

‘AYAHANDA’, itulah gelaran yang sesuai untuknya. Beliau yang dimaksudkan ialah Tuan Haji Omar Bakar. Biarpun baru saja melakar nama di Sekolah Izzuddin Shah (SIS) pada 2016, beliau mempunyai 1001 misi dan visi yang mahu dilaksanakan bagi meningkatkan prestasi sekolah dari segi akademik, sahsiah mahupun kokurikulum.

Beliau juga seorang yang berpengalaman sebagai pengetua. Sebagai contoh beliau telah mentadbir Sekolah Raja Dr Nazrin selama 16 tahun sebelum dipindahkan ke SIS. Justeru, tidak hairanlah beliau sangat masak dalam merangka perancangan bagi menaikkan nama sekolah ke peringkat lebih tinggi.

Ayahanda dilahirkan pada tanggal 2 April 1960. Anak kampung yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Lempor, Manong ini kemudian menyambung pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Tajul Ariffin.

Setelah menamatkan pengajian di peringkat rendah dan menengah, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Pertanian Malaysia yang kini dikenali Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1980.

Beliau berjaya menggenggam segulung Diploma Sains Pendidikan juga Ijazah Sarjana Muda dalam Pembangunan Sumber Manusia dari UITM, Skudai.

Pada 1989, beliau mula menjadi guru biasa di SMK Kampar selama tiga tahun. Seterusnya menjadi penyelaras Matrikulasi di UKM, Bangi pada tahun 1991-2000.

Pada tahun 2000, beliau ditawarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) untuk memegang jawatan Penolong Kanan di Sekolah Menengah Agama Raja Dr Nazrin Shah, Kampung Gajah.

Sikap kebertanggungjawabannya dalam menjalankan tugas, beliau dilantik sebagai Pengetua, sebulan selepas dipindahkan ke Sekolah Menengah Agama Raja Dr Nazrin (Sarjana).

Pada April 2016, beliau memegang jawatan sebagai Pengetua Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah (SIS), Ipoh untuk memenuhi tempat ditinggalkan Cikgu Musanif Mohd Noh yang dipindahkan ke Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK).

Ayahanda memiliki sasaran tersendiri untuk meningkatkan prestasi sekolah dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar.

Antara hasrat pengetua ialah:

• Kepimpinan yang cemerlang dalam kalangan pelajar, guru dan staf sokongan

• Keberkesanan PdP di sekolah untuk menjamin prestasi akademik yang cemerlang

• Kecemerlangan akademik

• Kecemerlangan akhlak dan sahsiah pelajar

• Kebitaraan sekolah

• Kecekapan pengurusan pentadbiran sekolah

• Saranan ibu bapa

Beliau amat yakin jika sesebuah sekolah dapat memenuhi ketujuh-tujuh hasrat ini, sekolah tersebut akan cemerlang dari sudut akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar.

“Sumbangan yang pertama sekali merubah minda pelajar transform supaya kita ambil perkara-perkara yang positif untuk cemerlang iaitu dalam meletakkan kepimpinan cemerlang dan kecekapan pengurusan itu supaya ketiga-tiga elemen human resources di dalamnya digerakkan ke arah yang positif dan cemerlang.

“Human resources itu yang pertamanya adalah pelajar. Pelajar harus mematuhi etika dan peraturan-peraturan sekolah atau asrama. Sebagai contoh pelajar tidak melakukan sebarang kes disiplin di sekolah.

“Yang kedua adalah guru-guru. Guru-guru juga harus meletakkan komitmen seratus peratus terhadap tugas dan tanggungjawab mereka sebagai guru dalam bidang akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah. Contohnya mendidik pelajar tanpa mengenal erti penat lelah,” katanya.

Menurut beliau, perkara ketiga adalah staf sokongan sekolah. Mereka ini membantu untuk menggerakkan program-program dan aktiviti sekolah dan mereka juga perlu transform dari segi cara mereka bekerja ke arah yang lebih efektif dan berkesan.

“Ketiga-tiga elemen ini perlu bekerjasama menyumbang ke arah pembangunan sekolah dalam bentuk menuju kecemerlangan akademik, kokurikulum dan ketinggian sahsiah pelajar. Semua human resources ini harus bergerak secara serentak bagi mengukuhkan lagi kecemerlangan dalam pentadbiran sekolah,” katanya.

Berikut adalah misi-misi sekolah yang beliau katakan:

• Mengamalkan pentadbiran yang telus dan efisien

• Budaya kerja berpasukan

• Melaksanakan pendidikan berkualiti untuk mencapai kecemerlangan

• Memperkasakan jati diri berpaksikan ilmu dan amal

• Menjadikan kokurikulum sebagai landasan untuk membina keterampilan pelajar

• Mewujudkan suasana kondusif serta menjalin hubungan mesra

Merujuk kepada misi sekolah di atas, jelaslah bahawa misi SIS mampu menandingi misi sekolah-sekolah berasrama penuh yang lain dan jika kesemua misi di atas dilaksanakan oleh ketiga-tiga elemen sekolah yang telah dinyatakan oleh tuan pengetua di atas.

Beliau percaya SIS mampu mengalahkan sekolah-sekolah lain yang lebih terkenal dan hebat di Malaysia contohnya MRSM Taiping, Kolej Islam Sultan Alam Shah dan sebagainya.

Beliau meletakkan sasaran Gred Purata Sekolah (GPP) 2.21 pada tahun hadapan dan beliau percaya SIS mampu menduduki tangga ke lima teratas dalam pencapaian SPM di semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

“SIS unggul dan akan berprestij di Malaysia dan dapat melahirkan lebih ramai cendekiawan negara dalam pelbagai bidang dan saya percaya bahawa SIS mampu menjana kecemerlangan sebaris dengan sekolah lain seperti MRSM, STAR, MCKK dan sekolah-sekolah kluster kecemerlangan yang lain,” itulah harapan Ayahanda.

Sehubungan itu, beliau telah pun melaksanakan program-program dari sudut akademik, kokurikulum mahupun kerohanian.

Selain itu, beliau juga mempunyai beberapa kriteria yang menjadikan beliau seorang yang disegani oleh pelajar, guru-guru mahupun staf sokongan sekolah.

Pertama, beliau seorang yang menepati masa. Sebagai contoh, beliau sering hadir ke sekolah pada awal pagi bagi memantau guru-guru supaya mereka tidak hadir lewat ke sekolah dan ketika di perhimpunan rasmi pada waktu pagi iaitu pada hari Isnin. Beliau akan mengatur masa untuk beliau berucap agar tidak mengganggu waktu PdP pelajar.

Di samping itu, beliau seorang yang bertanggungjawab dengan amanah yang dipikul. Contohnya beliau sering mengadakan program-program motivasi dan aktiviti-aktiviti luar bagi memastikan kecemerlangan murid khususnya dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar.

Beliau telah menjayakan kesemua program yang telah beliau rangka pada tahun ini dengan begitu cemerlang. Hal ini menunjukkan bahawa beliau telah memberi komitmen seratus peratus bagi melaksanakan program-program tersebut.

Ayahanda juga seorang yang berpendirian tetap. Sebagai contoh, beliau begitu efisien dan sistematik dalam melaksanakan tugas beliau supaya pentadbiran sekolah menjadi lebih telus dan licin, sekali gus dapat meningkatkan keberkesanan PdP dan beliau bertungkus-lumus ingin berganding bahu bersama Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Penolong Kanan Kokurikulum bagi membentuk kekuatan ikatan silaturahim dari sudut rohani.

Akhir sekali, asbab inilah yang mendorong kami untuk memilih Tuan Haji Omar Bakar sebagai insan yang paling digemari di sekolah, sekali gus dipilih sebagai idola kami yang begitu sesuai dalam karya yang bertajuk Kami Suka Dia ini.

PT3: Nursalam raih 11A – Tiada telefon bimbit, tidak makan berlebihan elak malas

KHAIRUL ABIDIN NUAR  |  UTUSAN MALAYSIA 20 Disember 2016

NURSALAM KHAIRUL AZMAN (kiri) dan Hilman Hakim Ahmad Sabri masing-masing menunjukkan slip keputusan PT3 dengan 11A di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh, Perak, semalam. UTUSAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN

IPOH 19 Dis. – Tidak memiliki telefon bimbit dan tidak makan secara berlebihan agar tidak malas adalah antara rahsia kecemerla­ngan Nursalam Khairul Azman, 15, pelajar Sekolah Izzuddin Shah di sini yang memperolehi 11A dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Kegagalan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan pertengahan tahun lalu juga menjadikan anak ketiga daripada enam beradik ini bertekad memberikan yang terbaik khusus kepada ibu bapanya iaitu Khairul Azman Mohd. Sirat, 48, dan Norzaini Noh@Ahmad, 46; yang ma­sing-masing ­be­kerja kampung dan suri rumah.

“Saya lebih selesa belajar bersendirian berbanding secara berkumpulan kerana jika bersama kawan-kawan, hanya banyak main.

“Selain mengulangkaji nota pelajaran berulang kali, menjaga solat itu penting beserta dengan doa. Kurangkan bermain dan saya memang tidak ada telefon bimbit walaupun di rumah.

“Memang tak sangka dapat 11A dalam PT3 kerana biasanya saya akan dapat gred B atau C dalam Bahasa Inggeris,” katanya ketika ditemui selepas menerima slip keputusan tersebut yang disampaikan oleh pengetuanya, Omar Bakar di sini hari ini.

Seramai 21 pelajar Sekolah Izzuddin Shah berjaya mendapat keputusan cemerlang 8A ke atas pada tahun ini berbanding 11 orang yang dicatatkan tahun lalu.

Sementara itu, seorang lagi pelajar yang mendapat keputusan 11A, Hilman Hakim Ahmad Sabri juga mengakui dia tidak terlalu aktif bermain dengan gajet terkini mahupun di laman sosial.

Sebaliknya, anak kepada pasangan Ahmad Sabri Abd. Ghani, 45, dan Norhekmah Saidin, 40, itu lebih banyak melakukan ­ulang kaji selain menjaga hubungan baik dengan guru-guru.

Sementara itu, Omar berkata, penambahbaikan PT3 yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan dapat memastikan pentaksiran tersebut berjalan secara lebih sistematik.

“Di peringkat sekolah, kita mengikut apa yang telah ditetapkan oleh kementerian dan kita tambah dengan program-program peningkatan pada setiap minggu selain perkhemahan akademik melibatkan setiap subjek.

“Daripada segi pandangan ibu terhadap PT3, ia terlalu subjektif kerana ada yang mengharapkan pentaksiran ini dapat menilai anak mereka dan ada juga yang melihatnya sebagai perubahan biasa daripada Penilaian Mene­ngah Rendah (PMR) kepada PT3. Apapun, kita mengharapkan yang positif,” katanya.

Top student wants to be like the DPM

Tuesday, 20 December 2016: BY CHAN LI LEEN – TheStar

All smiles: Nursalam (left) and Hilman Hakim showing their result slips at Sekolah Izzuddin Shah in Ipoh.

IPOH: Buoyed by his good results in the Form Three Assessment (PT3), Sekolah Izzuddin Shah student Nursalam Khairul Azman is hoping to achieve great things like Deputy Prime Minister Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“I’m very proud of the fact that we are from the same school,” said the 15-year-old who scored 11A’s in the exams.

“Perhaps one day, I can be someone important like him,” he said.

According to Nursalam, his results were unexpected.

“I usually get B’s and C’s, not A’s. And so I checked and double-checked the results list put up at the board in front of the school hall to make sure I saw correctly,” said the youngster who aspires to be an ustaz.

Fellow schoolmate Hilman Hakim Ahmad Sabri had also not expected to score 11A’s.

“I didn’t put in extra hours but made sure to focus during classes, although there have been times when I actually slept due to heat or lethargy,” said Hilman Hakim who hopes to become a doctor some day.

At SMK St Michael, Tang Chee Sheng attributed his near perfect results of 9A’s and 1B to three hours of daily studying.

“I think cutting down on time spent on Facebook was also crucial in helping me achieve these results,” he said.

PT3: 21 Pelajar Sekolah Izzuddin Shah Catat Keputusan Cemerlang

IPOH: Seramai 21 pelajar di Sekolah Izzuddin Shah (SIS) di sini mencatatkan keputusan yang cemerlang (8A hingga 11A) dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Daripada jumlah tersebut, seramai dua pelajar telah mencatatkan keputusan 11A dalam semua matapelajaran dan selebihnya masing-masing 10A (seorang), 9A (lima orang) dan 8A (13 orang).

Pengetuanya, Omar Bakar berkata, keputusan pelajar yang memperolehi cemerlang btersebut menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu yang hanya mencatatkan 11 orang.

“Hari ini kita meraikan semua pelajar cemerlang ini diatas segala usaha dan penat lelah mereka selama tiga tahun di sekolah ini.

“Meskipun peperiksaan PT3 ini hanya penilaian di peringkat sekolah, tetapi faktor dalaman ini yang akan digarap untuk kecemerlangan di masa akan datang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, beliau telah menyampaikan sijil kepada 21 pelajar cemerlang PT3 termasuklah kepada dua pelajar yang mencatatkan keputusan 11A iaitu Nursalam Khairul Azman dan Hilman Hakim Ahmad Sabri.

Mereka memperolehi keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu Ujian Bertulis, Bahasa Melayu (Lisan); Bahasa Inggeris Ujian Bertulis, Bahasa Inggeris (Lisan), Sejarah, Geografi, Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup Bersepadu.

Dalam pada itu, Nursalam ketika ditemui berkata, usaha yang berterusan kerana tidak mahu menghampakan kedua ibu bapanya dan tidak mempunyai telefon bimbit menjadi salah satu rahsia kejayaannya memperolehi keputusan cemerlang dalam PT3.

“Kalau dalam ujian sebelum ini, saya hanya memperolehi B dan C dalam semua matapelajaran. Jadi disebabkan tidak mahu ayah dan ibu kecewa, saya telah berusaha dan belajar bersungguh-sungguh selain sentiasa menjaga solat,” katanya.

Ayah kepada Nursalam, Khairul Azman Mohd Sirat, 48, berkata, beliau tidak menaruh harapan yang tinggi, namun sentiasa mengingatkan kepada anaknya itu supaya membetulkan niat sebelum menuntut ilmu.

“Alhamdulillah, memang tak sangka dia (Nursalam) dapat keputusan cemerlang. Saya sentiasa memberi dorongan serta galakan kepadanya untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Selain itu, saya sering mengingatkannya untuk membetulkan niat belajar untuk mendapatkan ilmu kerana niat adalah yang paling utama, yang lain termasuk kejayaan akan datang kemudian,” katanya lagi.

Sementara itu, Hilman pula berkata, sentiasa menjaga solat, fokus sewaktu pembelajaran dalam kelas, ulangkaji dan latihan yang berterusan menjadi penyebab kepada kejayaan yang diperolehi pada hari ini.

Selain itu, anak kedua kepada pasangan Ahmad Sabri Abdul Ghani, 45, dan Norhekmah Saidin, 40, itu berkata, beliau juga sentiasa memohon maaf kepada guru, ibu bapa dan rakan.

“Kita kena sentiasa memohon maaf sebab kita tak ingat jika ada melakukan kesalahan. Kalau boleh setiap hari atau setiap minggu,”katanya.