Pelajar dijangkiti Influenza A (H3) meningkat

PELAJAR di Sekolah Raja Perempuan Taayah (SERATA) memakai topeng penutup mulut untuk mengelak dijangkiti virus influenza, baru-baru ini. – Foto Effendy Rashid

IPOH: Bilangan pelajar disahkan dijangkiti Influeza A (H3) atau selesema bermusim di Perak meningkat kepada 465 kes setakat jam 11.59 malam tadi berbanding 438 kes dilaporkan malam semalam.

Jurucakap Jabatan Kesihatan Perak berkata, bilangan berkenaan termasuk kes terbaru 25 pelajar dijangkiti di Sekolah Izzudin Shah di sini.

Katanya, terdapat pertambahan seorang pelajar di Sekolah Raja Perempuan Taayah (SERATA) menjadikan bilangan keseluruhan pelajar sekolah berkenaan yang dijangkiti penyakit itu seramai 226 orang. “

Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART), Teluk Intan turut mencatatkan pertambahan satu kes menjadikan seramai 83 pelajar yang dijangkiti setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, tiga lagi sekolah merekodkan bilangan sama seperti semalam dengan tiada pertambahan kes direkodkan iaitu Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman (STAR) kekal 115 pelajar, Sekolah Kebangsaan(SK) Klebang Jaya (3 murid) dan Kolej Vokasional Slim River (13 pelajar).

Katanya, sehingga kini ujian pengesahan daripada sampel yang diberikan menunjukkan empat sampel positif untuk Influenza A (H3) dan sembilan sampel positif untuk Influenza B.

Beliau berkata, suntikan vaksin Influenza bermusim adalah digalakkan terutama bagi mereka yang berisiko tinggi iaitu mudah dijangkiti seperti kanak-kanak berusia di bawah lima tahun, mereka berusia lebih 60 tahun, menghadapi masalah radang paru-paru dan asma. “

Bagi pesakit yang masih diperlukan bekerja, mereka yang bergejala perlu memakai penutup hidung dan mulut sepanjang masa berada di tempat kerja,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/node/259420

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *