Keputusan SPM 2016 Sekolah Agama Negeri Perak Catat 100 Peratus

SuaraPerak: 16 MAC 2017

IPOH: Sekolah menengah agama kelolaan kerajaan negeri Perak mencatatkan keputusan 100 peratus lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 yang diumumkan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, seramai 361 calon tiga buah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan empat buah Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) telah menduduki SPM tahun lalu.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, seorang calon mendapat 12A, tujuh mendapat 11A, 10 (10A), 27 (9A), 17 (8A), 23 (7A), 48 (6A), 54 (5A), 52 (4A), 51 (3A), 37 (2A) dan 28 (1A) di samping hanya enam calon tidak mendapat sebarang A.

SMTDR Manjung memperolehi gred purata sekolah (GPS) terbaik dengan 2.87 mengatasi SMTDR Batang Padang (2.89), Sekolah Raja Perempuan Taayah (2.93), Sekolah Izzuddin Shah (3.19), Sekolah Menengah Raja Dr Nazrin Shah (3.27), SMTDR Lenggong (3.61) dan SMTDR Kerian (3.86).

Bagaimanapun, kata beliau, seorang calon Sekolah Raja Perempuan Taayah mendapat keputusan 12A dan enam lagi mendapat 11A.

“Ini merupakan pencapaian-pencapaian yang cukup terbaik, begitu juga langkah-langkah yang telahpun dilakukan oleh pihak kerajaan negeri bagi memastikan kejayaan dan kecemerlangan dalam bentuk duniawi dan ukhrawi itu dapat dibekalkan kepada anak-anak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan itu dan menyampaikan slip keputusan kepada pelajar cemerlang di Sekolah Raja Perempuan Taayah di sini pada Khamis.

Menurut Drs Nizar, walaupun pelajar sekolah-sekolah agama yang dikelolakan oleh kerajaan negeri itu perlu mengikuti tiga silibus akademik, azhariah dan tahfiz, tetapi mereka mampu untuk bersaing dan mencatatkan keputusan cemerlang.

“Kejayaan-kejayaan ini merupakan usaha secara bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh guru-guru, pelajar dan peranan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) juga,” ujar beliau.

Katanya, walaupun turut menggunakan format kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang diperkenalkan di sekolah-sekolah agama mulai tahun lalu, ia tidak menjejaskan prestasi calon-calon.

“Alhamdulillah, secara amnya, pelajar-pelajar sekolah agama dapat mengikutinya secara baik sehingga mereka dapat melonjakkan kecemerlangan mereka,” tambah beliau.

Sumbr: http://suaraperak.com/keputusan-spm-2016-sekolah-agama-negeri-perak-catat-100-peratus/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *