Kami suka dia

Wan Mohd Hasanuddin, Muhammad Haikal Suhairi, Muhammad Danish Sakhawi & Muhammad ‘Abid Zuhdi Osman

3 JANUARI 2017 – GPS BESTARI SINAR HARIAN

Dari kiri: Haikal, Wan, Tuan Hj Omar (Pengetua), Danish , Abid Zuhdi dan Harith Imtiaz.

‘AYAHANDA’, itulah gelaran yang sesuai untuknya. Beliau yang dimaksudkan ialah Tuan Haji Omar Bakar. Biarpun baru saja melakar nama di Sekolah Izzuddin Shah (SIS) pada 2016, beliau mempunyai 1001 misi dan visi yang mahu dilaksanakan bagi meningkatkan prestasi sekolah dari segi akademik, sahsiah mahupun kokurikulum.

Beliau juga seorang yang berpengalaman sebagai pengetua. Sebagai contoh beliau telah mentadbir Sekolah Raja Dr Nazrin selama 16 tahun sebelum dipindahkan ke SIS. Justeru, tidak hairanlah beliau sangat masak dalam merangka perancangan bagi menaikkan nama sekolah ke peringkat lebih tinggi.

Ayahanda dilahirkan pada tanggal 2 April 1960. Anak kampung yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Lempor, Manong ini kemudian menyambung pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Tajul Ariffin.

Setelah menamatkan pengajian di peringkat rendah dan menengah, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Pertanian Malaysia yang kini dikenali Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1980.

Beliau berjaya menggenggam segulung Diploma Sains Pendidikan juga Ijazah Sarjana Muda dalam Pembangunan Sumber Manusia dari UITM, Skudai.

Pada 1989, beliau mula menjadi guru biasa di SMK Kampar selama tiga tahun. Seterusnya menjadi penyelaras Matrikulasi di UKM, Bangi pada tahun 1991-2000.

Pada tahun 2000, beliau ditawarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) untuk memegang jawatan Penolong Kanan di Sekolah Menengah Agama Raja Dr Nazrin Shah, Kampung Gajah.

Sikap kebertanggungjawabannya dalam menjalankan tugas, beliau dilantik sebagai Pengetua, sebulan selepas dipindahkan ke Sekolah Menengah Agama Raja Dr Nazrin (Sarjana).

Pada April 2016, beliau memegang jawatan sebagai Pengetua Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah (SIS), Ipoh untuk memenuhi tempat ditinggalkan Cikgu Musanif Mohd Noh yang dipindahkan ke Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK).

Ayahanda memiliki sasaran tersendiri untuk meningkatkan prestasi sekolah dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar.

Antara hasrat pengetua ialah:

• Kepimpinan yang cemerlang dalam kalangan pelajar, guru dan staf sokongan

• Keberkesanan PdP di sekolah untuk menjamin prestasi akademik yang cemerlang

• Kecemerlangan akademik

• Kecemerlangan akhlak dan sahsiah pelajar

• Kebitaraan sekolah

• Kecekapan pengurusan pentadbiran sekolah

• Saranan ibu bapa

Beliau amat yakin jika sesebuah sekolah dapat memenuhi ketujuh-tujuh hasrat ini, sekolah tersebut akan cemerlang dari sudut akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar.

“Sumbangan yang pertama sekali merubah minda pelajar transform supaya kita ambil perkara-perkara yang positif untuk cemerlang iaitu dalam meletakkan kepimpinan cemerlang dan kecekapan pengurusan itu supaya ketiga-tiga elemen human resources di dalamnya digerakkan ke arah yang positif dan cemerlang.

“Human resources itu yang pertamanya adalah pelajar. Pelajar harus mematuhi etika dan peraturan-peraturan sekolah atau asrama. Sebagai contoh pelajar tidak melakukan sebarang kes disiplin di sekolah.

“Yang kedua adalah guru-guru. Guru-guru juga harus meletakkan komitmen seratus peratus terhadap tugas dan tanggungjawab mereka sebagai guru dalam bidang akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah. Contohnya mendidik pelajar tanpa mengenal erti penat lelah,” katanya.

Menurut beliau, perkara ketiga adalah staf sokongan sekolah. Mereka ini membantu untuk menggerakkan program-program dan aktiviti sekolah dan mereka juga perlu transform dari segi cara mereka bekerja ke arah yang lebih efektif dan berkesan.

“Ketiga-tiga elemen ini perlu bekerjasama menyumbang ke arah pembangunan sekolah dalam bentuk menuju kecemerlangan akademik, kokurikulum dan ketinggian sahsiah pelajar. Semua human resources ini harus bergerak secara serentak bagi mengukuhkan lagi kecemerlangan dalam pentadbiran sekolah,” katanya.

Berikut adalah misi-misi sekolah yang beliau katakan:

• Mengamalkan pentadbiran yang telus dan efisien

• Budaya kerja berpasukan

• Melaksanakan pendidikan berkualiti untuk mencapai kecemerlangan

• Memperkasakan jati diri berpaksikan ilmu dan amal

• Menjadikan kokurikulum sebagai landasan untuk membina keterampilan pelajar

• Mewujudkan suasana kondusif serta menjalin hubungan mesra

Merujuk kepada misi sekolah di atas, jelaslah bahawa misi SIS mampu menandingi misi sekolah-sekolah berasrama penuh yang lain dan jika kesemua misi di atas dilaksanakan oleh ketiga-tiga elemen sekolah yang telah dinyatakan oleh tuan pengetua di atas.

Beliau percaya SIS mampu mengalahkan sekolah-sekolah lain yang lebih terkenal dan hebat di Malaysia contohnya MRSM Taiping, Kolej Islam Sultan Alam Shah dan sebagainya.

Beliau meletakkan sasaran Gred Purata Sekolah (GPP) 2.21 pada tahun hadapan dan beliau percaya SIS mampu menduduki tangga ke lima teratas dalam pencapaian SPM di semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

“SIS unggul dan akan berprestij di Malaysia dan dapat melahirkan lebih ramai cendekiawan negara dalam pelbagai bidang dan saya percaya bahawa SIS mampu menjana kecemerlangan sebaris dengan sekolah lain seperti MRSM, STAR, MCKK dan sekolah-sekolah kluster kecemerlangan yang lain,” itulah harapan Ayahanda.

Sehubungan itu, beliau telah pun melaksanakan program-program dari sudut akademik, kokurikulum mahupun kerohanian.

Selain itu, beliau juga mempunyai beberapa kriteria yang menjadikan beliau seorang yang disegani oleh pelajar, guru-guru mahupun staf sokongan sekolah.

Pertama, beliau seorang yang menepati masa. Sebagai contoh, beliau sering hadir ke sekolah pada awal pagi bagi memantau guru-guru supaya mereka tidak hadir lewat ke sekolah dan ketika di perhimpunan rasmi pada waktu pagi iaitu pada hari Isnin. Beliau akan mengatur masa untuk beliau berucap agar tidak mengganggu waktu PdP pelajar.

Di samping itu, beliau seorang yang bertanggungjawab dengan amanah yang dipikul. Contohnya beliau sering mengadakan program-program motivasi dan aktiviti-aktiviti luar bagi memastikan kecemerlangan murid khususnya dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar.

Beliau telah menjayakan kesemua program yang telah beliau rangka pada tahun ini dengan begitu cemerlang. Hal ini menunjukkan bahawa beliau telah memberi komitmen seratus peratus bagi melaksanakan program-program tersebut.

Ayahanda juga seorang yang berpendirian tetap. Sebagai contoh, beliau begitu efisien dan sistematik dalam melaksanakan tugas beliau supaya pentadbiran sekolah menjadi lebih telus dan licin, sekali gus dapat meningkatkan keberkesanan PdP dan beliau bertungkus-lumus ingin berganding bahu bersama Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Penolong Kanan Kokurikulum bagi membentuk kekuatan ikatan silaturahim dari sudut rohani.

Akhir sekali, asbab inilah yang mendorong kami untuk memilih Tuan Haji Omar Bakar sebagai insan yang paling digemari di sekolah, sekali gus dipilih sebagai idola kami yang begitu sesuai dalam karya yang bertajuk Kami Suka Dia ini.

Sekolah Agama Bukan Setakat Lahirkan Ustaz

MUHAMMAD HAFIZUDDEEN, HILMAN HAKIM, MUHAMMAD AMAR SAYUTI MUSLEH, MUHAMMAD ZULFIKR – GPS BESTARI SINAR HARIAN – 13 DISEMBER 2016

Dari kiri: Amar Sayuti, Hilman Hakim, Zulfikri dan Hafizuddeen.

MAJORITI masyarakat hari ini masih menilai sekolah aliran agama, baik sekolah kementerian mahupun swasta hanya boleh menghasilkan ustaz dan ustazah. Sedangkan pada masa kini sekolah aliran agama terbukti mampu untuk mengeluarkan produk yang lebih berkualiti berbanding sekolah lain dan menghasilkan tokoh-tokoh berwibawa.

Sekolah agama pada masa kini juga banyak menyediakan infrastruktur lengkap dan setanding dengan sekolah-sekolah lain.

Selain itu, sekolah agama juga menyediakan pelbagai kelas aliran berpandukan kementerian dan peredaran zaman untuk pelajar agar tidak ketinggalan.

Ini dapat memberi peluang kepada pelajar untuk memilih aliran yang bersesuaian dengan kebolehan diri mereka. Ia juga dapat membuka minda pelajar untuk menjadi lebih kreatif dan mampu berfikir ke hadapan. Kesannya, sekolah agama berjaya melahirkan ikon yang dapat membantu masyarakat.

Sekolah agama juga bergiat aktif dalam menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan pihak luar seperti pertandingan kereta solar, roket air, pidato, bahas ala Parlimen, bola sepak dan sebagainya.

Penyertaan tersebut membuktikan pelajar sekolah agama bukan hanya menuntut ilmu agama semata-mata, malahan mereka bergiat aktif dalam segenap aktiviti.

Kedudukan sekolah ini yang berada di tengah bandar juga memberi peluang kepada pelajar mengetahui isu semasa dan tidak digelar seperti katak di bawah tempurung. Pelajar terdedah dengan aktiviti-aktiviti yang diadakan di luar, termasuk yang berlaku dalam kalangan masyarakat setempat.

Pelajar lepasan sekolah agama juga mendapat dua manfaat yang sukar untuk pelajar lain peroleh iaitu ilmu dunia yang bermanfaat dan bekalan akhirat yang kekal sehingga hari perhitungan.

Oleh yang demikian, sekolah agama bukanlah hanya melahirkan ustaz dan ustazah, tetapi melahirkan tokoh-tokoh berjaya di persada negara termasuk ahli politik dan pemimpin terkemuka, ahli akademik, peguam dan pelbagai tokoh profesional.

Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah contoh paling dekat dengan kami. Beliau merupakan lepasan Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh, Perak.

“Saya sendiri pernah belajar dari tingkatan satu hingga enam rendah di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh,” kata beliau.

TPM adalah bukti paling jelas pelajar sekolah agama mampu menjawat jawatan penting dalam institusi negara.

Selain itu, Pengarah Urusan Synergy Training & Consulting (STC), Hasrizal Abdul Jamil, juga merupakan lepasan Sekolah Izzuddin Shah dari tahun 1992.

Beliau seorang penulis tanah air yang popular. Antara buku beliau yang terkenal adalah Aku Terima Nikahnya, Bercinta Sampai ke Syurga, Murabbi Cinta, Rindu Bau Pohon Tin, Secangkir Teh Pengubat Letih, Transofmasi Ramadan dan Edisi Istimewa Aku Terima Nikahnya.

Datuk Dr Siddiq Fadzil juga adalah seorang lagi tokoh berpendidikan agama yang berjaya mencipta nama bukan saja di tanah air, malah turut dikenali di negara-negara Islam yang lain.

Dilahirkan di Bagan Datoh, Perak pada 4 Januari 1947. Dr Siddiq adalah Presiden Wadah Pencerdasan Ummah Malaysia (Wadah) semenjak tahun 2005 hingga kini.

Dr Siddiq pernah dilantik sebagai Fellow Utama Akademi Pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), sebuah yayasan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Seorang lagi tokoh pendidikan agama yang terkenal ialah Hakim Utama Mahkamah Tinggi Perak, Mohammad Taifor Ahmad Rusdi.

Produk sekolah agama ini berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di universiti dalam dan luar negara dan sekarang berkhidmat di Mahkamah Tinggi Perak.

Kesimpulannya, sekolah agama bukan hanya melahirkan ustaz dan ustazah, malah mampu melahirkan produk-produk yang lebih berkualiti dan menyumbang kepada masyarakat, negara dan agama.

Persepsi masyarakat zaman kini perlulah diubah dan tidak memandang rendah kepada pelajar sekolah agama. Hal ini kerana, jika kita lihat pelajar-pelajar sekolah agama lebih mendominasi bidang-bidang pekerjaan yang memerlukan kemahiran pada tahap tertinggi seperti presiden persatuan, jurutera, pengarah syarikat, saintis, doktor dan sebagainya.

Sejarah sekolah agama di Perak

Pendidikan: Utusan Malaysia  : 14 Mei 2012

Oleh JURIJ JALALUDIN

Mukadimah

Sejarah pendidikan Islam bermula dengan sekolah agama yang beroperasi secara mandiri tanpa bantuan kewangan daripada kerajaan. Ia bergantung semata-mata kepada yuran pengajian dan sumbangan ihklas daripada dermawan. Dalam konteks Perak, sekolah agama yang pertama ditubuhkan ialah Ma’ahad Al-Ehya Asshariff di Gunung Semanggol pada 1918. Sejak itu, sekolah agama terus berkembang pesat dan kini ia didaftarkan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). SABK sama seperti sekolah kerajaan yang lain turut menerima peruntukkan kewangan dalam aspek pengurusan guru akademik, bantuan kepada pelajar dan pembangunan sekolah. Kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) terlibat dengan pengurusan pelajaran Azhariah dan guru Azhariah. Manakala Lembaga pengurusan sekolah pula terlibat dengan pegangan tanah sekolah (wakaf) dan bangunan sekolah.
– Pengarang

Institusi pendidikan agama di Perak bermula melalui penubuhan Ma’ahad Al-Ehya Asshariff di Gunung Semanggol pada 1918. Daripada sebuah pondok ia bertukar kepada sebuah sekolah agama pada 15 April 1934 yang diberi nama Madrasah Al-Ehya Asshariff.

Sekolah ini diwujudkan kerana terdapat keperluan tempat belajar untuk murid lepasan sekolah rendah di samping sebagai usaha menyebarkan ilmu secara lebih teratur dalam menyebarkan risalah Islam.

Pada 1936 dengan permuafakatan masyarakat setempat dan para pelajar sendiri, mereka telah bergotong royong membina sebuah bangunan bagi kelas-kelas tambahan.

Sebuah lagi bangunan sekolah kayu dibina dalam tahun 1940 hasil daripada sumbangan derma orang ramai dan namanya ditukar kepada Ma’ahad Al-Ehya Asshariff.

Pada tahun 1941, ma’ahad ini mempunyai lebih 400 orang pelajar lelaki dan 100 pelajar perempuan. Sebanyak 270 buah pondok asrama disediakan oleh jawatankuasa pentadbiran sekolah ini dan pada tahun yang sama juga institusi pendidikan agama ini mempunyai harta kira-kira 50 ekar kebun dan sawah.

Selepas merdeka, Ma’ahad Al-Ehya Asshariff semakin berkembang maju dan pihak pemerintah turut memberi bantuan dua buah asrama baru yang telah dirasmikan oleh Tun Abdul Razak Hussein pada 1959.

Selain itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perak (JAIP) juga menghulurkan bantuan RM500 sebulan pada Ma’ahad, sementara Kementerian Pelajaran memperuntukkan sebanyak RM5,300 setahun membantu sekolah agama ini.

Pada tahun 1960 pelajar-pelajar ma’ahad meningkat ke angka 722 orang, dan dalam tahun 1964 apabila peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) mula-mula diperkenalkan di sekolah, kejayaan yang capai oleh sekolah ini amat cemerlang sekali.

Selepas Ma’ahad Al-Ehya Asshariff, dua sekolah agama lain mula beroperasi iaitu Madrasah Idrisiah pada 1922 dan diikuti Sekolah Menengah Agama (SMA) Ad-Diniah Al-Islamiah pada 1924.

Murid pertama Madrasah Idrisiah ialah Haji Muhammad Haji Salleh, dari Kelantan. Pada tahun 1928 murid kedua ialah Syeikh Abdullah al-Maghribi dari Mekah dan murid ketiga pada 1932 ialah Syeikh Abdullah Fa’him dari Kepala Batas iaitu datuk kepada bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Penubuhan Madrasah Al-Diniah di Kampung Lalang, Padang Rengas pada 1924 bukan sahaja menitikberatkan pelajaran agama dan akademik malah pelajaran amali seperti ilmu berniaga (small business), membuat kicap, membuat sabun, membuat minyak angin, kacang masin, bersawah, berkebun dan menjahit (untuk penuntut perempuan) turut dijadikan pelajaran wajib diketahui oleh penuntutnya.

Hasilnya, menjelang penghujung 1930-an di Padang Rengas sendiri terhadap hampir 30 buah kedai kepunyaan orang Melayu yang terdiri daripada kedai getah, kedai kopi, kedai gunting rambut, kedai runcit dan sebagainya.

Seterusnya, pada 1942, Sekolah Menengah Agama Al Falah telah dibina di kawasan seluas 2.5 ekar tanah wakaf. Sekolah ini telah beroperasi selama lebih 50 tahun sebagai sekolah agama rakyat dan mengharungi pahit manis sejarahnya, sebelum diperakui sebagai sebuah Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan pada 17 Mei 2005. Hal ini bermakna hampir keseluruhan pembiayaan pengurusan dan pembangunan sekolah dibiayai oleh kerajaan.

Sebuah sekolah lagi yang ditubuhkan sebelum era kemerdekaan ialah Sekolah Menengah Agama Rakyat Al Hidayah atau ringkasnya SMARAH. Pada peringkat awal pengajian agama dan bahasa Arab yang dijalankan adalah berkisar di peringkat rendah sahaja.

Kemudian, pada 1983, SMARAH telah dinaik taraf kepada peringkat menengah dan namanya ditukar daripada Madrasah Al-Hidayah Adiniah kepada Sekoalh Menengah Agama Rakyat Al-Hidayah.

Pasca kemerdekaan pula menyaksikan lebih banyak sekolah agama ditubuhkan di Perak seperti Maahad Al TarbiahAl Islamiah (MTI) pada 1958, Sekolah Izzuddin Shah (1959), Sekolah Raja Perempuan Ta’ayah (1960), Maahad Al-Khair Lil Banat (1962), Sekolah Menengah Addiniah (1970) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Islahiah Addiniah (1980).

Bilangan SABK semakin bertambah khususnya pada tahun 1990-an seperti SABK Maahad Al-Ummah, SABK Maahad Al-Imam Asy Syafiee, SABK Syubbaniah, Maahad Nurul Fadzliah, SABK Batang Padang dan SABK Maahad Al-Mizan.

Salah satu sekolah menengah agama di bawah kelolaan kerajaan negeri Perak ialah Sekolah Menengah Raja Dr. Nazrin Shah yang ditubuhkan pada 2006.

Proses kemasukkan ke sekolah ini bukan berdasarkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tetapi melalui Ujian Kelayakan Khas yang melibatkan bidang agama dan akademik.

Secara keseluruhannya, pembangunan sekolah agama dan perkembangan pendidikan di Perak merupakan dua aspek yang seiringan antara satu sama lain.

Sekolah agama dibangunkan mengikut acuan agama Islam yang menekankan tentang pembangunan yang menyeluruh, seimbang dan sepadu meliputi keperluan-keperluan rohani dan jasmani serta duniawi dan ukhrawi.

Sumber: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120514/pe_01