PT3: Nursalam raih 11A – Tiada telefon bimbit, tidak makan berlebihan elak malas

KHAIRUL ABIDIN NUAR  |  UTUSAN MALAYSIA 20 Disember 2016

NURSALAM KHAIRUL AZMAN (kiri) dan Hilman Hakim Ahmad Sabri masing-masing menunjukkan slip keputusan PT3 dengan 11A di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh, Perak, semalam. UTUSAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN

IPOH 19 Dis. – Tidak memiliki telefon bimbit dan tidak makan secara berlebihan agar tidak malas adalah antara rahsia kecemerla­ngan Nursalam Khairul Azman, 15, pelajar Sekolah Izzuddin Shah di sini yang memperolehi 11A dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Kegagalan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan pertengahan tahun lalu juga menjadikan anak ketiga daripada enam beradik ini bertekad memberikan yang terbaik khusus kepada ibu bapanya iaitu Khairul Azman Mohd. Sirat, 48, dan Norzaini Noh@Ahmad, 46; yang ma­sing-masing ­be­kerja kampung dan suri rumah.

“Saya lebih selesa belajar bersendirian berbanding secara berkumpulan kerana jika bersama kawan-kawan, hanya banyak main.

“Selain mengulangkaji nota pelajaran berulang kali, menjaga solat itu penting beserta dengan doa. Kurangkan bermain dan saya memang tidak ada telefon bimbit walaupun di rumah.

“Memang tak sangka dapat 11A dalam PT3 kerana biasanya saya akan dapat gred B atau C dalam Bahasa Inggeris,” katanya ketika ditemui selepas menerima slip keputusan tersebut yang disampaikan oleh pengetuanya, Omar Bakar di sini hari ini.

Seramai 21 pelajar Sekolah Izzuddin Shah berjaya mendapat keputusan cemerlang 8A ke atas pada tahun ini berbanding 11 orang yang dicatatkan tahun lalu.

Sementara itu, seorang lagi pelajar yang mendapat keputusan 11A, Hilman Hakim Ahmad Sabri juga mengakui dia tidak terlalu aktif bermain dengan gajet terkini mahupun di laman sosial.

Sebaliknya, anak kepada pasangan Ahmad Sabri Abd. Ghani, 45, dan Norhekmah Saidin, 40, itu lebih banyak melakukan ­ulang kaji selain menjaga hubungan baik dengan guru-guru.

Sementara itu, Omar berkata, penambahbaikan PT3 yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan dapat memastikan pentaksiran tersebut berjalan secara lebih sistematik.

“Di peringkat sekolah, kita mengikut apa yang telah ditetapkan oleh kementerian dan kita tambah dengan program-program peningkatan pada setiap minggu selain perkhemahan akademik melibatkan setiap subjek.

“Daripada segi pandangan ibu terhadap PT3, ia terlalu subjektif kerana ada yang mengharapkan pentaksiran ini dapat menilai anak mereka dan ada juga yang melihatnya sebagai perubahan biasa daripada Penilaian Mene­ngah Rendah (PMR) kepada PT3. Apapun, kita mengharapkan yang positif,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *