Festival nasyid Kolej Taj meriah

Bicara Agama : Utusan Malaysia : 29 April 2008

Oleh AZMI ABDUL MALEK

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah kepada johan Festival Nasyid kepada kumpulan Soutul Faizin dari Sekolah Menengah Izzuddin Shah, di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

FESTIVAL Nasyid Sempena Maulidur Rasul anjuran Kolej Taj di Ipoh, Perak, baru-baru ini memeriahkan suasana membeli-belah di pasar raya Greentown Mall, apabila 10 kumpulan dari institusi pendidikan di sekitar bandar raya itu menyertai program berkenaan dengan mempamerkan persembahan ala konsert ternama di negara ini.

Pentas persembahan yang terletak di hadapan pasar raya berkenaan menjadi sesak di pertengahan acara apabila pengunjung datang semakin meningkat.

Selain tetamu jemputan, pengunjung pasar raya terutamanya golongan remaja menyaksikan setiap kumpulan menggunakan alat muzik ala konsert ternama ketika mengadakan persembahan.

Kumpulan Soutul Faizin dari Sekolah Menengah Izzuddin, Ipoh, yang menjuarai pertandingan itu berjaya menambat hati penonton dengan persembahan menarik.

Kumpulan berkenaan berjaya meraih hadiah wang tunai bernilai RM1,500 beserta sijil dan hamper yang ditaja beberapa badan korporat dan agensi kerajaan.

Naib johan disandang kumpulan Ainul Yaqin dari Sekolah Menengah Taayah, Ipoh, dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM800, manakala tempat ketiga dimenangi kumpulan Yayasan Amanah Ainul Maisarah, Chemor.

Hadiah disampaikan Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga pengasas Kolej Taj, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Taj, Tina Tajuddin, berkata tujuan utama program ini dianjurkan adalah untuk memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW di samping menerapkan nilai-nilai murni yang menjadi paksi kejayaan umat Islam masa kini.

Menurutnya, program itu turut memberi pendedahan interaksi antara mahasiswa kolej dengan masyarakat setempat, di samping menimba pengalaman baru tentang cara mengatur program sedemikian.

Katanya, program itu mendapat sokongan penaja yang terdiri daripada badan korporat, institusi pengajian tinggi, sekolah dan agensi kerajaan sekitar bandar raya Ipoh.

“Program sama akan terus dikembangkan ke tempat lain pada masa hadapan sekiranya ia mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Tina berkata, Kolej Taj sentiasa prihatin dengan masyarakat sekitar dan bercadang menyusun beberapa program lain dalam tempoh terdekat ini.

Menurutnya, beberapa program yang membabitkan bakti siswa akan diketengahkan tidak lama lagi supaya mahasiswa mendapat nilai tambah ketika belajar di kolej berkenaan.

Sumber: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *