PT3: 21 Pelajar Sekolah Izzuddin Shah Catat Keputusan Cemerlang

IPOH: Seramai 21 pelajar di Sekolah Izzuddin Shah (SIS) di sini mencatatkan keputusan yang cemerlang (8A hingga 11A) dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Daripada jumlah tersebut, seramai dua pelajar telah mencatatkan keputusan 11A dalam semua matapelajaran dan selebihnya masing-masing 10A (seorang), 9A (lima orang) dan 8A (13 orang).

Pengetuanya, Omar Bakar berkata, keputusan pelajar yang memperolehi cemerlang btersebut menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu yang hanya mencatatkan 11 orang.

“Hari ini kita meraikan semua pelajar cemerlang ini diatas segala usaha dan penat lelah mereka selama tiga tahun di sekolah ini.

“Meskipun peperiksaan PT3 ini hanya penilaian di peringkat sekolah, tetapi faktor dalaman ini yang akan digarap untuk kecemerlangan di masa akan datang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, beliau telah menyampaikan sijil kepada 21 pelajar cemerlang PT3 termasuklah kepada dua pelajar yang mencatatkan keputusan 11A iaitu Nursalam Khairul Azman dan Hilman Hakim Ahmad Sabri.

Mereka memperolehi keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu Ujian Bertulis, Bahasa Melayu (Lisan); Bahasa Inggeris Ujian Bertulis, Bahasa Inggeris (Lisan), Sejarah, Geografi, Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup Bersepadu.

Dalam pada itu, Nursalam ketika ditemui berkata, usaha yang berterusan kerana tidak mahu menghampakan kedua ibu bapanya dan tidak mempunyai telefon bimbit menjadi salah satu rahsia kejayaannya memperolehi keputusan cemerlang dalam PT3.

“Kalau dalam ujian sebelum ini, saya hanya memperolehi B dan C dalam semua matapelajaran. Jadi disebabkan tidak mahu ayah dan ibu kecewa, saya telah berusaha dan belajar bersungguh-sungguh selain sentiasa menjaga solat,” katanya.

Ayah kepada Nursalam, Khairul Azman Mohd Sirat, 48, berkata, beliau tidak menaruh harapan yang tinggi, namun sentiasa mengingatkan kepada anaknya itu supaya membetulkan niat sebelum menuntut ilmu.

“Alhamdulillah, memang tak sangka dia (Nursalam) dapat keputusan cemerlang. Saya sentiasa memberi dorongan serta galakan kepadanya untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Selain itu, saya sering mengingatkannya untuk membetulkan niat belajar untuk mendapatkan ilmu kerana niat adalah yang paling utama, yang lain termasuk kejayaan akan datang kemudian,” katanya lagi.

Sementara itu, Hilman pula berkata, sentiasa menjaga solat, fokus sewaktu pembelajaran dalam kelas, ulangkaji dan latihan yang berterusan menjadi penyebab kepada kejayaan yang diperolehi pada hari ini.

Selain itu, anak kedua kepada pasangan Ahmad Sabri Abdul Ghani, 45, dan Norhekmah Saidin, 40, itu berkata, beliau juga sentiasa memohon maaf kepada guru, ibu bapa dan rakan.

“Kita kena sentiasa memohon maaf sebab kita tak ingat jika ada melakukan kesalahan. Kalau boleh setiap hari atau setiap minggu,”katanya.