TPM sumbang dana kepada Sekolah Izzuddin Shah

BERITA HARIAN – 27 September 2016

KUALA LUMPUR 27 SEPTEMBER 2016. (Dari kiri) Pengetua Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah (SIS), Ipoh, Haji Omar dan Yang Dipertua PIBG, Masni Shahril menerima sumbangan daripada Datuk Fatah Iskandar, Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri dan Pegawai Khas Mohd Azmi Sahrudin, di pejabat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA: Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, Ipoh, menerima sumbangan RM25,000 daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga bekas pelajar sekolah berkenaan, untuk seminar pelajar PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah itu bersama akhbar BH.

Cek disampaikan Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fatah Iskandar, kepada Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, Masni Shahril Abu Bakar, di pejabat Timbalan Perdana Menteri di sini.

Hadir sama pengetua sekolah, Omar Bakar (kiri) dan Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri, Mohd Azmi Sahrudin. Seminar PT3 diadakan pada 30 dan 31 Julai lalu, manakala seminar SPM pada 8 dan 9 Oktober ini.

Lulusan sekolah agama setanding aliran biasa – TPM

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@bh.com.my
Berita Harian : Jumaat 17 Jun 2016

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada majlis Iftar Perdana Warga Pendidikan Daerah Sabak Bernam dan Penjenamaan Semula Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sabak Bernam di Sungai Besar, sebentar tadi. – Foto Mohamad Shahril Badri Saali

SUNGAI BESAR: Pelajar lulusan sekolah agama perlu diberi peluang sama rata dalam apa juga bidang pekerjaan dan perkhidmatan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, sekiranya diberi peluang, lulusan sekolah agama mampu untuk melaksanakan amanah, tugas dan tanggungjawab yang diberikan seperti dirinya yang kini menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Sebagai contoh, saya adalah produk Sekolah Menengah Agama Izzudin Shah Ipoh, Perak dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam Rendah.

Kalau kita diberi peluang, produk sekolah agama juga boleh menjalankan (tugas) jika diberikan kepercayaan, peranan dan tanggungjawab. “

Akan tetapi kita harus mampu menzahirkan kemampuan dan keupayaan kita. Yang penting jika kita menerima tugas dan tanggungjawab kerana Allah, nescaya Allah akan beri petunjuk kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Iftar Perdana Warga Pendidikan Daerah Sabak Bernam dan Penjenamaan Semula Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sabak Bernam di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Dalam majlis itu yang dihadiri 1,000 tetamu dan guru dari seluruh daerah Sabak Bernam, Ahmad Zahid mengumumkan penjenamaan semula SMKA Sabak Bernam kepada SMKA Tun Hajah Rahah (THR) sempena mengambil nama ibu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya sendiri menemui Perdana Menteri selepas mesyuarat Kabinet Rabu lalu untuk meminta izin menggunakan nama ibu beliau di sekolah ini kerana sekolah ini juga Sekolah Kluster Kecemerlangan,” katanya.

Beliau turut meluluskan projek mengecat semula enam blok bangunan SMKA THR dan menilai kesesuaian permohonan menyediakan padang untuk pelajar menjalankan aktiviti.

Ahmad Zahid turut mengumumkan kelulusan bagi projek pembinaan bangunan baharu Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam di tapak sama.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/165466

TPM kebanggaan Izzuddin Shah

WARTAWAN SINAR HARIAN – 30 JULAI 2015

Ahmad Zahid (berdiri, tiga kiri) ketika menjadi ketua pelajar di Sekolah Izzuddin Shah pada tahun 1969.

IPOH – Pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri bukan sahaja menggembirakan penduduk di Bagan Datoh tetapi turut membanggakan warga Sekolah Izzuddin Shah.

Ahmad Zahid merupakan bekas pelajar Sekolah Izzuddin Shah pada tahun 1966 sehingga 1970 bermula di tingkatan satu hingga tingkatan lima.

Pengetua Sekolah Izzuddin Shah, Musanif Mohamad Noh berkata, pelantikan itu sudah pastinya menjadi satu kebanggaan buat sekolah.

Menurutnya, dari segi keperibadian, Ahli Parlimen Bagan Datoh itu seorang yang merendah diri dan tidak lupa asal-usul.

“Beliau (Ahmad Zahid) memang sayangkan sekolah. Tak pernah lupa asal-usul beliau menuntut ilmu pada peringkat awal persekolahan.

“Bukan itu sahaja, beliau juga seorang yang sangat merendah diri dan pemurah. Setiap tahun ada sahaja sumbangan yang diberikan kepada sekolah sama ada untuk aktiviti sukan mahupun kemudahan yang lain,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Musanif berkata, Ahmad Zahid juga terlibat secara langsung dalam Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Izzuddin Shah dan Sekolah Raja Perempuan Taayah (PBSISTA) malah pernah menjadi presiden persatuan alumni tersebut.

Katanya, selepas menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid melepaskan jawatan itu kerana kesibukan tugas di kementerian.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian bersama Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Izzuddin Shah, Mohd Nazeri Mohd Amin di Sekolah Izzuddin Shah menemui gambar Ahmad Zahid pada tahun 1969 yang ketika itu sebagai ketua pelajar yang ditempatkan di galeri sekolah tersebut.

Malah, bangunan lama yang menempatkan kelas Ahmad Zahid dari tingkatan satu hingga tingkatan lima masih kekal digunakan sehingga kini sebagai bangunan kelas.

Selain itu, terdapat juga gambar barisan kepimpinan PBSISTA pada tahun 2003 bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang masih disimpan di dalam galeri berkenaan.