Yayasan bantu pelajar Sekolah Izzudin Shah

BEKAS pelajar dan guru-guru mengaminkan doa yang dibaca oleh Ustaz Hamzah Suffian (duduk tengah) dalam majlis pertemuan semula pelajar-pelajar Sekolah Izzuddin Shah sesi 1980-1984 di Ipoh, semalam.

IPOH 15 Dis. – Satu yayasan bakal ditubuhkan pada pertengahan tahun depan bagi membantu para pelajar Sekolah Izzuddin Shah di sini melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

Seorang wakil bekas pelajar sekolah berkenaan, Mohd. Ali Mansor berkata, yayasan itu antara lain bertujuan membantu para pelajar yang cemerlang tetapi kurang berkemampuan.

Beliau berkata, pihaknya merasakan sudah masanya Sekolah Izzudin Shah mempunyai sebuah alumni yang mantap dan mampu menyumbang semula kepada sekolah.

“Selain itu, kita juga bercadang untuk mengadakan sesi ceramah berkaitan pekerjaan terutamanya dalam kalangan pelajar tingkatan empat dan lima supaya mereka nampak hala tuju masing-masing selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pertemuan semula pelajar-pelajar Sekolah Izzuddin Shah sesi 1980-1984 di dewan makan asrama sekolah berkenaan hari ini.

Bertemakan Sirih Pulang Ke Gagang, seramai 35 bekas pelajar sekolah itu sempat beramah mesra dengan bekas guru selain mengimbau kenangan silam dengan tidur bersama di blok asrama sekolah berkenaan semalam.

Dalam pada itu, Mohd. Ali yang kini merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, cadangan penubuhan yayasan itu pada awalnya akan difokuskan bagi membantu anak-anak bekas pelajar bagi kohot berkenaan yang kurang bernasib baik.

Menurut beliau, sebanyak 115 individu telah dikenal pasti sebagai bekas pelajar sekolah tersebut untuk sesi 1980-1984 yang kini sedang berkhidmat di dalam dan luar negara.

“Dahulu, kami hanya hidup dengan bantuan pejabat agama melalui sumbangan zakat iaitu RM316 bagi setiap pelajar, justeru kami merasakan perlunya pendidikan agama ini terus diperkasa,” katanya.

Sekolah Izzuddin Shah merupakan sekolah menengah agama pertama yang ditubuhkan dengan berorientasikan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) khas untuk pelajar lelaki selain menawarkan aliran pengajian agama dan kurikulum kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan.

Sumber: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20131216/pe_03/Yayasan-bantu-pelajar-Sekolah-Izzudin-Shah