Tepati masa jauhi sifat munafik

Oleh Mohd Hassan Adli Yahya
Harian Metro : Ahad 6 Sep 2015

Masa! Ada apa dengan masa hingga Allah bersumpah dengan masa dalam firman-Nya dalam surah Al-’Asr yang bermaksud, “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Saya teringat pada zaman persekolahan di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh dahulu. Setiap kali lepas solat Asar di surau, akan ada pelajar yang menyampaikan tazkirah. Pendek kata, sepanjang melanjutkan pelajaran di situ, setiap orang pasti paling kurang sekali akan ‘merasa’ untuk bercakap di hadapan pelajar.

Antara tajuk tazkirah yang menjadi kegemaran pelajar, terutama mereka yang kali pertama menyampaikan tazkirah adalah berkaitan dengan masa. Sudah tentu dalil wajib yang diselitkan dalam tazkirah itu adalah daripada surah al-’Asr.

Entah mengapa tajuk itu menjadi kegemaran bagi sebahagian pelajar. Mungkin kerana ia mudah dikupas atau mungkin juga ia begitu signifikan dalam kehidupan manusia. Ya, membicarakan soal masa dalam kehidupan tidaklah sesukar mana.

Dalam kehidupan manusia setiap hari, terutama umat Islam, kita pasti terikat dengan masa dalam rutin kita.

Awal pagi, kita diwajibkan untuk menunaikan solat Subuh sebelum terbit fajar. Selepas itu kita mungkin sibuk untuk menyiapkan anak untuk ke sekolah sebelum van atau bas sekolah datang mengambil mereka.

Jika lambat, pasti anak kita akan ditinggalkan bas dan kita pula terpaksa menghantar mereka ke sekolah. Selepas itu, kita bergegas pula ke tempat kerja dan mesti sampai di pejabat pada waktunya. Sampai di pejabat, ada beberapa temujanji yang perlu kita hadiri pada waktu dijanjikan.

Sebelah malam pula selepas pulang kerja, kita berjanji dengan rakan untuk bermain futsal atau badminton pada waktu tertentu. Begitulah antara rutin seharian kita setiap hari yang sebenarnya terikat dengan masa tanpa kita sedari.

Namun perkara yang lebih besar adalah persoalan sejauh mana menguruskan masa kita dengan baik. Sejauh mana juga kita menepati masa yang dijanjikan. Saya teringat ketika berada di Korea Selatan tahun lalu.

Setiap hari akan ada van berserta pemandu yang menunggu kami di bawah hotel untuk itinerari pada hari berkenaan. Setiap hari van itu datang pada jam 10 pagi dan ya, ia datang sebelum daripada waktu itu dan bergerak tepat pada jam 10 pagi.

Saya teringat pula kisah yang dikongsikan oleh rakan yang melawat Jepun tahun lalu. Dalam satu sesi lawatannya ke sebuah universiti, dia terkejut dan teruja kerana apabila sampai sahaja ke tempat lawatan itu, mereka disediakan dengan program tentatif. Teruja kerana ia hanya lawatan ringkas tetapi jadualnya telah disusun dengan rapi.

Setiap sesi pula dijaga agar masa yang diperuntukkan benar-benar dipatuhi dan tidak mengganggu sesi berikutnya. Kedua-dua negara maju ini nampaknya begitu menjaga perihal masa.

Ia sangat berbeza dengan budaya atau adat menjaga masa dalam kalangan orang kita. Sesetengah daripada kita mempunyai pemahaman, jika berjanji untuk berjumpa pada jam 10 pagi, maka waktu ‘sebenar’ untuk berjumpa adalah jam 10.30 atau 11 pagi.

Jam 10 pagi sebenarnya kita baru bergerak menuju ke destinasi dijanjikan. Atau lebih teruk lagi, jam 10 pagi baru kita mula bersiap.

Tiba di destinasi, parkir berdekatan penuh dan kita mungkin terpaksa berlari dalam lingkungan jarak yang jauh. Apabila lambat sampai, dengan berpeluh kita mula menyalahkan kesesakan lalu lintas kerana menjadi punca lambat.

Walhal kita sedia maklum laluan berkenaan memang sejak dahulu lagi sesak dan mesti keluar awal untuk sampai tepat pada waktu yang dijanjikan.

Cuba kita bayangkan jika orang yang kita berjanji itu mempunyai jadual ketat pada hari itu dan dia sebenarnya sangat menepati waktu. Akibat kelewatan kita, mungkin ada jadualnya yang terpaksa dibatalkan gara-gara kegagalan kita menepati masa.

Ini adalah sesuatu yang perlu kita ubah agar tidak menjadi kebiasaan dalam kehidupan. Menepati masa dan janji adalah ciri-ciri seorang Mukmin dan Muslim yang baik manakala tidak menepati janji itu mendekati ciri-ciri orang munafik.

Rancanglah pada malam sebelumnya agar ia berjalan dengan sempurna dan kita tidak menjadi ‘punca’ kepada kekalutan orang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *