MUHAMMAD HAFIZUDDEEN, HILMAN HAKIM, MUHAMMAD AMAR SAYUTI MUSLEH, MUHAMMAD ZULFIKR – GPS BESTARI SINAR HARIAN – 13 DISEMBER 2016
MAJORITI masyarakat hari ini masih menilai sekolah aliran agama, baik sekolah kementerian mahupun swasta hanya boleh menghasilkan ustaz dan ustazah. Sedangkan pada masa kini sekolah aliran agama terbukti mampu untuk mengeluarkan produk yang lebih berkualiti berbanding sekolah lain dan menghasilkan tokoh-tokoh berwibawa.
Sekolah agama pada masa kini juga banyak menyediakan infrastruktur lengkap dan setanding dengan sekolah-sekolah lain.
Selain itu, sekolah agama juga menyediakan pelbagai kelas aliran berpandukan kementerian dan peredaran zaman untuk pelajar agar tidak ketinggalan.
Ini dapat memberi peluang kepada pelajar untuk memilih aliran yang bersesuaian dengan kebolehan diri mereka. Ia juga dapat membuka minda pelajar untuk menjadi lebih kreatif dan mampu berfikir ke hadapan. Kesannya, sekolah agama berjaya melahirkan ikon yang dapat membantu masyarakat.
Sekolah agama juga bergiat aktif dalam menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan pihak luar seperti pertandingan kereta solar, roket air, pidato, bahas ala Parlimen, bola sepak dan sebagainya.
Penyertaan tersebut membuktikan pelajar sekolah agama bukan hanya menuntut ilmu agama semata-mata, malahan mereka bergiat aktif dalam segenap aktiviti.
Kedudukan sekolah ini yang berada di tengah bandar juga memberi peluang kepada pelajar mengetahui isu semasa dan tidak digelar seperti katak di bawah tempurung. Pelajar terdedah dengan aktiviti-aktiviti yang diadakan di luar, termasuk yang berlaku dalam kalangan masyarakat setempat.
Pelajar lepasan sekolah agama juga mendapat dua manfaat yang sukar untuk pelajar lain peroleh iaitu ilmu dunia yang bermanfaat dan bekalan akhirat yang kekal sehingga hari perhitungan.
Oleh yang demikian, sekolah agama bukanlah hanya melahirkan ustaz dan ustazah, tetapi melahirkan tokoh-tokoh berjaya di persada negara termasuk ahli politik dan pemimpin terkemuka, ahli akademik, peguam dan pelbagai tokoh profesional.
Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah contoh paling dekat dengan kami. Beliau merupakan lepasan Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh, Perak.
“Saya sendiri pernah belajar dari tingkatan satu hingga enam rendah di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh,” kata beliau.
TPM adalah bukti paling jelas pelajar sekolah agama mampu menjawat jawatan penting dalam institusi negara.
Selain itu, Pengarah Urusan Synergy Training & Consulting (STC), Hasrizal Abdul Jamil, juga merupakan lepasan Sekolah Izzuddin Shah dari tahun 1992.
Beliau seorang penulis tanah air yang popular. Antara buku beliau yang terkenal adalah Aku Terima Nikahnya, Bercinta Sampai ke Syurga, Murabbi Cinta, Rindu Bau Pohon Tin, Secangkir Teh Pengubat Letih, Transofmasi Ramadan dan Edisi Istimewa Aku Terima Nikahnya.
Datuk Dr Siddiq Fadzil juga adalah seorang lagi tokoh berpendidikan agama yang berjaya mencipta nama bukan saja di tanah air, malah turut dikenali di negara-negara Islam yang lain.
Dilahirkan di Bagan Datoh, Perak pada 4 Januari 1947. Dr Siddiq adalah Presiden Wadah Pencerdasan Ummah Malaysia (Wadah) semenjak tahun 2005 hingga kini.
Dr Siddiq pernah dilantik sebagai Fellow Utama Akademi Pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), sebuah yayasan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.
Seorang lagi tokoh pendidikan agama yang terkenal ialah Hakim Utama Mahkamah Tinggi Perak, Mohammad Taifor Ahmad Rusdi.
Produk sekolah agama ini berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di universiti dalam dan luar negara dan sekarang berkhidmat di Mahkamah Tinggi Perak.
Kesimpulannya, sekolah agama bukan hanya melahirkan ustaz dan ustazah, malah mampu melahirkan produk-produk yang lebih berkualiti dan menyumbang kepada masyarakat, negara dan agama.
Persepsi masyarakat zaman kini perlulah diubah dan tidak memandang rendah kepada pelajar sekolah agama. Hal ini kerana, jika kita lihat pelajar-pelajar sekolah agama lebih mendominasi bidang-bidang pekerjaan yang memerlukan kemahiran pada tahap tertinggi seperti presiden persatuan, jurutera, pengarah syarikat, saintis, doktor dan sebagainya.