Perak sasar lahirkan 500 tahfiz muda setiap tahun – Mohd. Nizar

KUALA KANGSAR 22 Mei – Kerajaan negeri menyasarkan untuk melahirkan 500 tahfiz muda setiap tahun, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Sahsiah, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohd. Nizar Zakaria.

Menurutnya, ini selaras dengan rancangan untuk membina sekolah menengah tahfiz al-Quran di setiap daerah di negeri ini.

Beliau berkata, setakat ini terdapat lapan buah sekolah menengah tahfiz antaranya Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah dan Sekolah Agama Raja Perempuan Takyah di sini.

“Kerajaan negeri akan membina sekolah menengah tahfiz di lima buah daerah.

“Pembinaannya akan bermula setelah selesai segala proses menyediakan bangunan sekolah dan keperluan asas yang lain,” katanya.

Beliau merasmikan Mesyua­rat Agung Perwakilan Persatuan Pesara Kerajaan Bahagian negeri Ke-27 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mercu di sini hari ini.

Menurutnya, telah wujud pelbagai institusi pendidikan Islam di negeri ini seperti tabika Islam, Sekolah Menengah Agama Rakyat, Sekolah Menengah Darul Ridzuan dan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) di sini.

Selain itu, menurutnya terdapat 29 buah sekolah menengah tahfiz yang diuruskan oleh pihak persendirian yang mempunyai ribuan pelajar.

Beliau berkata, kerajaan mahu melengkapkan golongan muda khususnya para pelajar dengan ilmu agama supaya mereka dapat membentuk jati diri.

“Diharapkan mereka ini sedar akan tanggungjawab, tahu asal usul bagaimana mereka boleh memperoleh kejayaan dalam bidang masing-masing,” katanya.

Sumber: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Utara/20140523/wu_03/Perak-sasar-lahirkan-500-tahfiz-muda-setiap-tahun—Mohd-Nizar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *