Agama, pelajaran seiring

Wartawan Sinar Harian – 27 Jun 2014
Mohd Nizar (empat, kanan) bersama pemenang Skim Galakan Tahfiz Al-Quran dan pelajar tahfiz yang hadir.

IPOH – Sekolah menengah tahfiz di negeri ini disarankan mengikut sistem pendidikan arus perdana dan turut menekankan kurikulum bersifat nasional.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) juga perlu dijalankan di kesemua sekolah itu.

Menurutnya, kerajaan negeri bukan hanya mahu melahirkan golongan hafiz yang mampu menghafal al-Quran, tetapi pada masa sama cemerlang dalam bidang pelajaran.

“Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) melalui bahagian pendidikannya telah menyusun kurikulum yang setara dengan aliran arus perdana untuk sekolah agama supaya tidak ketinggalan.

“Apa yang penting, kita tidak mahu sekolah ini hanya melahirkan imam, bilal dan guru agama tetapi melahirkan doktor, jurutera, juruterbang, polis dan tentera serta pemimpin yang menghafal al-Quran, itu matlamat kita,” katanya selepas Majlis Penyampaian Skim Galakan Tahfiz Al-Quran di sini.

Hadir sama, Pengurus Besar Yayasan Perak, Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Mohd Nizar berkata, kerajaan negeri turut menyasarkan untuk melahirkan 500 tahfiz muda setiap tahun selaras dengan rancangan untuk membina sekolah menengah tahfiz al-Quran di setiap daerah di negeri ini.

“Setakat ini terdapat lapan sekolah menengah tahfiz antaranya Sekolah Izzuddin Shah dan Sekolah Raja Perempuan Taayah di sini.

“Kerajaan negeri akan bina sekolah menengah tahfiz di lima daerah dan pembinaannya akan bermula setelah selesai segala proses menyediakan bangunan sekolah dan keperluan asas lain,” katanya.

Sementara itu, Zulkapli berkata, seramai 53 pelajar dari 13 sekolah menengah tahfiz terlibat di dalam Skim Galakan Tahfiz Al-Quran yang diwujudkan sejak 1997. HAKIM, MUHAMMAD AMAR SAYUTI MUSLEH, MUHAMMAD ZULFIKR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *